Cepat mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian menjadi impian para graduan hari ini.
Apatah lagi, pekerjaan pertama sering kali menjadi batu loncatan untuk membina kerjaya yang lebih baik kelak.
Graduan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong, Perak, Siti Nurmaizatulakma Mohd Rofi sangat bertuah kerana direzekikan berkhidmat sebagai Quality Control Assistant di Syarikat Good Morning Global Sdn Bhd, Selangor usai tamat pembelajaran di kolej itu.
Kejayaan pemegang Diploma Herba dan Hasilan Semulajadi (Pembuatan) mendapat pekerjaan telah dikongsi KKTM Lenggong menerusi akaun Facebooknya Selasa lalu.
Turut berkongsi kegembiraan ialah TVET Mara di laman sosial yang sama, dengan catatan mengenai kehebatan produk Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Skil set yang mampan dan memenuhi kehendak industri menjadikan kebolehpasaran graduan TVET Mara menerusi KKTM, Mara Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) sentiasa tinggi dan menjadi rebutan industri untuk ditawarkan pekerjaan sekali gus mereka terus membina kerjaya setelah tamat pengajian,” tulis mereka.