Buli siber boleh membunuh!

Iklan
Hari ini mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal tetapi kecederaan mental dan emosi terhadap mangsa semakin membimbangkan kerana pembuli menggunakan lidah serta tangan mereka untuk berkata-kata. Gambar kecil: Azmawaty (atas) dan Nur Nadhirah.

Malaysia sering kali digambarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum, harmoni, kaya pelbagai adab, adat dan budaya.

Namun, hari ini masih wujud gejala membuli dan ia sangat merisaukan kerana ia boleh menjadi satu norma masyarakat kita.

Iklan
Iklan

Gejala siber, bukan sahaja berlaku dalam institusi pendidikan, di tempat kerja atau dalam kalangan ahli keluarga sahaja, tetapi ianya boleh berlaku dan dilihat semakin meruncing di alam maya atau siber.

Hari ini mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal tetapi kecederaan mental dan emosi terhadap mangsa semakin membimbangkan kerana pembuli hari ini turut menggunakan lidah serta tangan mereka untuk berkata-kata.

Iklan

Sering dipaparkan di media massa dan akhbar, ada mangsa yang dibuli sehingga membawa kepada kecederaan serius dan yang lebih membimbangkan adalah buli siber turut mengakibatkan kehilangan nyawa.

Tidak dinafikan, mangsa buli sudah pasti akan berhadapan dengan tekanan emosi yang kritikal kerana berdepan ejekan dan perkataan negatif yang dilemparkan kepada mereka.

Iklan

Melihat kepada ragam pembuli siber hari ini menjadikan tangan-tangan mereka sebagai lidah untuk berkata-kata di alam maya. Benarlah, lidah ini satu nikmat yang ALLAH SWT berikan kepada manusia, sifatnya lembut tidak bertulang tetapi tajam ibadat pedang sehingga boleh membunuh dan melukakan hati insan yang mendengarnya.

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW pernah ditanyakan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab:"Bertakwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya.” Lalu baginda ditanyakan lagi sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Menjawab:"Mulut dan kemaluan”.

ALLAH SWT juga pernah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 11 yang memberi peringatan kepada lelaki dan perempuan mengenai larangan untuk melakukan perbuatan mencemuh, memerli, menghina serta memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain.

Di sini jelas kita tidak boleh menghina orang atau melontarkan perkataan yang tidak baik serta memberikan gelaran yang buruk kepada seseorang sama ada di hadapan atau di belakangnya kerana ALLAH berfirman pada akhir ayat surah ini iaitu orang beriman itu bersaudara dan janganlah pula kita merosakkan atau memutuskan persaudaraan itu.

Umum mengetahui perbuatan menghina, mencaci yang dilakukan oleh pembuli siber ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam semata-mata tetapi agama-agama lain turut melarang para penganutnya untuk melakukan perbuatan yang boleh menyakiti individu yang lain.

Seorang pakar ilmuwan agama pernah menyebut;"Saya tidak takut dengan keyboard worriors tetapi takut dengan keyboard sinners.”

Jadi para keyboard worriors di luar sana, anda yang mana satu? Buat pilihan yang bijak kerana setiap perbuatan anda akan dipersoalkan kelak.

Pembuli siber mungkin sedar atau tidak bahawa perbuatan mereka itu meninggalkan parut kepada mangsa. Mangsa buli kebiasaannya akan berhadapan dengan kecederaan emosi yang teruk, isu berkaitan psikologi, trauma dan sebagainya.

Konsep 3R

Jadi dikongsikan di sini konsep 3R yang boleh diaplikasi oleh mangsa buli bagi memastikan mereka tenang dan sedar tentang emosi yang mereka alami.

Retract, iaitu berundur seketika daripada perbuatan yang kita lakukan. Contohnya, jika waktu itu mangsa buli siber berada dalam situasi yang tegang, berundur seketika dapat memberikan ruang masa pada diri agar dapat bertenang.

Berundur di sini bermaksud cuba ambil masa untuk tenangkan diri dari sudut pemikiran dan emosi sambil mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Teknik pernafasan boleh dilaksanakan dengan menarik, menahan, menghembus dan seterusnya menahan nafas dan setiap peringkat ini dilaksanakan dalam tempoh empat sana.

Perhatikan bahawa, teknik pernafasan yang tepat ini akan memberikan anda kelegaan pada badan, pemikiran dan membantu anda untuk kekal fokus.

Rethink, fikirkan adakah perkataan yang disebutkan atau penulisan orang lain sebenarnya dapat memberikan kesan pada diri?

Ketahuilah tiada siapa pun yang dapat membuat apa-apa pun pada anda sekiranya anda tidak membenarkan ianya berlaku. Sebagai contoh, sekiranya anda diejek atau dicemuh, ambil masa untuk tenangkan diri dan anda akan menjadi lebih jelas dan rasional dalam setiap pemikiran yang wujud dalam diri.

Anda lebih faham bahawa orang yang membuli itu sebenarnya mempunyai isu dengan diri mereka dan menzahirkan dengan cara penulisan atau percakapan mereka terhadap orang lain.

Jadi, ambillah masa yang lebih lama sekiranya anda perlu bertenang dan berfikir secara rasional.

'Respon' iaitu kita memberikan tindak balik yang positif serta bersesuaian mengikut situasi dan keadaan yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan diri daripada bertingkah laku mengikut kehendak emosi, perasaan dan pemikiran yang negatif.

Sekiranya anda berasa sedih atau marah, tidak salah untuk anda validasi perasaan tersebut dan bangkit semula untuk menjadi lebih resilien dalam mendepani sebarang masalah.

Jadi pesanan buat semua berhati-hati dalam melontarkan kata-kata, jangan kerana lidah badan binasa dan jangan kerana mulut ia membuatkan orang lain terasa.

Fikirkan terlebih dahulu sebelum mula bicara atau bertingkah laku dan jangan jadikan perbuatan buli ini sebagai satu norma kepada masyarakat hari ini, kerana setiap perbuatan yang kita lakukan sekarang akan membentuk generasi negara pada masa akan datang.

Buat masyarakat semua kita perlu mengambil cakna dengan keadaan orang sekeliling kita, mungkin ada dalam kalangan keluarga, jiran tetangga atau rakan-rakan terdekat kita yang menjadi mangsa buli ini.

Berikan bantuan, laporkan kepada pihak berkuasa, atau bawa mereka dapatkan bantuan daripada ahli profesional supaya mereka mendapat kesejahteraan dari segi fizikal, emosi dan juga mental.

Jangan berdiam diri sahaja kerana anda mangsa dan anda berhak mendapatkan keadilan.

Maklumat Penulis

Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan dan anggota Lembaga Kaunselor Malaysia, Profesor Madya Dr Azmawaty dan Kaunselor Pelatih, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Nur Nadhirah Mat Nawi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my