Kematian Zulfarhan: Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati

Iklan
Semoga Allahyarham Zulfarhan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Iklan
Iklan

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Selasa, yang dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh.

Hakim Hadhariah di dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan si mati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya manakala Abdoul Hakeem pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.

Iklan

"Oleh itu kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Justeru, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Iklan

Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

12 bekas penuntut UPNM tersebut ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Kesemuanya didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Allahyarham Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.