Bangun selewat-lewatnya jam 5.30 pagi dan menunaikan solat sunat tahajud setiap hari antara kunci kejayaan pelajar Tingkatan Enam Institusi St John, Kuala Lumpur mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Usaha tersebut membolehkan pelajar, Muhamad Rafiuddin Mohamad Hisham, 20, yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2023 kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK) pada Selasa.
Ujar Muhamad Rafiuddin yang bercita-cita menjadi pensyarah itu, dia juga sering mengadakan perbincangan bersama guru-guru sekiranya ada soalan yang tidak faham.
"Saya akan bangun selewat-lewatnya pada 5.30 pagi dan saya akan sempatkan juga buat solat sunat tahajud dua rakaat, itu wajib setiap hari.
"Selain itu, kalau ada tip-tip daripada guru, itu saya akan ambil perhatian dan selalu buat sesi perbincangan dengan guru jika tidak puas hati dengan soalan-soalan tertentu.
"Sebab di Tingkatan Enam, kita pun kena suarakan pendapat sendiri, bila buat begitu kita akan lebih faham dengan tajuk tersebut" katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves, Selangor pada Selasa.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Menurut Muhamad Rafiuddin yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik, dia mula hilang penglihatan sejak berumur tiga tahun akibat kanser limfoma.
Bagaimanapun ujarnya, penglihatan mula pulih selepas menjalani beberapa rawatan termasuk latihan kemoterapi.
"Dalam setahun setengah saya buat rawatan (kemoterapi) dan sekarang saya sudah baik.
"Sekarang saya sudah tidak buat, tetapi masih ada perjumpaan (dengan doktor)," ujarnya.