Calon peperiksaan akhir semester UUM terima bantuan percuma

Iklan
Pelajar yang menerima keperluan asas yang sempurna boleh mencapai prestasi cemerlang mereka secara lancar.

Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mula menduduki peperiksaan akhir semester A232 pada 21 Julai hingga 10 Ogos telah menerima 200 set alat tulis Exam Kit dan sarapan pagi secara percuma sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Usaha itu dilancarkan melalui Program Exam Booster: Strive For Success dan dijayakan oleh Kelab Patriot Chapter Negeri Sembilan (PERMANIS) dengan kerjasama Kelab Patriot Chapter Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya (PERWISA).

Iklan
Iklan

Pengarah Program, Nur Syazwin Mohd Ramali menyatakan bahawa pemberian itu adalah tanda keprihatinan dan sikap cakna daripada pihak kelab anak negeri, khususnya kelab di bawah kluster kebajikan UUM.

"Saya berharap dengan adanya bantuan seumpama ini, pelajar akan mendapat semangat dan motivasi yang lebih tinggi untuk menduduki peperiksaan," kata beliau.

Iklan

Menurutnya, bantuan itu bertujuan untuk memupuk semangat komuniti dan kebersamaan dalam kalangan pelajar UUM dan membantu mahasiswa mencapai kejayaan akademik dengan memberikan sokongan melalui gabungan pemakanan sihat serta persediaan peperiksaan yang cekap.

Timbalan Pengarah Program, Ahmad Faizuddin Sanusi, turut menyatakan inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan pelajar, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sarapan pagi bagi meningkatkan prestasi akademik.

Iklan

"Dengan sokongan dari pelbagai pihak, program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan dan seterusnya mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk menyokong usaha-usaha sebegini demi kebaikan dan kebajikan pelajar.