Pupuk minat STEM anak Orang Asli

Iklan
Sebahagian murid yang mengikuti program pemindahan kepakaran bidang STEM di sekolah mereka baru-baru ini.

Prihatin masa depan pendidikan anak-anak Orang Asli, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif mengadakan program pemindahan kepakaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada mereka.

Pengarah Program, Muhammad Izz Khairol Bahry berkata, seramai 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 14, Tapah, Perak telah menyertai program itu.

Iklan
Iklan

"UTeM mengambil pendekatan turun ke sekolah tersebut untuk menyampaikan kepentingan program STEM kepada anak Orang Asli.

"Kami menggunakan pendekatan yang agak berbeza iaitu mengenengahkan dan mendedahkan teknologi terkini seperti dron, pencetakan 3D, membina kereta solar dan pen pencetak 3D kepada mereka.

Iklan

"Menerusi pendedahan ini, peserta lebih tertarik, mendapat keyakinan dan motivasi untuk berjaya dalam teknologi serta kejuruteraan,” ujarnya.



Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, UTeM, Dr Nadlene Razali berkata, STEM adalah elemen berharga yang mencorak kehidupan lebih cemerlang kepada mereka untuk menghadapi masa depan.

"Dengan sokongan jitu dan berterusan menerusi pendidikan STEM, ia secara tidak langsung menjadi dimensi yang mampu mengangkat komuniti Orang Asli mencapai kesetaraan dan kemakmuran kemajuan sama dengan masyarakat di luar sana,” katanya lagi.

Iklan

Dalam pada itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Batu 14, Cikgu Sarina Metuhu merakamkan ucapan terima kasih kepada UTeM yang sudi menjayakan program sebegini bagi membuka minda murid tentang STEM.

"Pihak sekolah amat berbesar hati dan sentiasa memberikan sokongan dan galakan sepenuhnya kepada murid untuk mengambil peluang secara langsung bersama pihak universiti.

"Pendedahan sebegini mengajar mereka mengenai kepentingan STEM dalam konteks keupayaan berfikir secara logik dan analitis,” tuturnya.