UMT terima 416 penuntut baharu asasi dan diploma

Iklan
Pengurusan tertinggi UMT beramah mesra dengan sekumpulan mahasiswa baharu.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima 416 mahasiswa baharu ketika pendaftaran bagi sesi 2024/2025, Isnin lalu.

Jumlah itu mewakili pecahan 337 penuntut program Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) manakala 79 lagi mengikuti program pengajian jurusan Diploma Perikanan.

Iklan
Iklan

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, mahasiswa perlu bertekad dan beriltizam dalam menimba ilmu bagi membalas jasa dan harapan ibu bapa seterusnya menyumbang kepada negara.

"Sebagai golongan terpelajar, anda dipandang dan diletakkan pada kedudukan tinggi oleh masyarakat.

Iklan

"Masyarakat mengharapkan mahasiswa menjadi pewaris kepimpinan, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan dan perubahan serta sumber modal insan dalam pembangunan negara.

"Justeru, tugas anda adalah membalas harapan mereka sebaik mungkin dengan menyemai bakti demi keutuhan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap semasa Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra 2024/2025 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT.

Iklan

Terdahulu, sesi pendaftaran penuntut baharu sesi 2024/2025 turut menyaksikan wakil kaum Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian di UMT.

Komuniti Orang Asli, Mohd Irwanshah Zainal melahirkan rasa syukur kerana direzekikan menyambung pelajaran di sini.

"Sebagai wakil Orang Asli, saya amat berbangga dan mahu buktikan bahawa kami juga boleh mencipta kejayaan setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini.

"Terima kasih UMT kerana memberi peluang dan saya akan belajar bersungguh-sungguh, insya-ALLAH,” ujar anak kelahiran Pontian, Johor.

Sementara itu, Jazlina Faizah Jamaludin turut berkongsi pengalaman manisnya sepanjang menjadi fasilitator dalam Minggu Jalinan Mesra 2024/2025 tersebut.

"Saya dapat mempelajari cara menguruskan pasukan, semangat kerja bersama-sama dan skil komunikasi antara satu dengan yang lain.

"Tentunya pengalaman ini akan diingati sampai bila-bila,” ujarnya.