Guna maskot katak tarik pelanggan beli jualan

Iklan
SMK Putrajaya Presint 9 (2) tampil membuat kelainan dengan membawakan maskot katak bagi menarik pengunjung membeli di reruai mereka.

Hari Kantin Sinar Bestari X Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Karnival Rakyat Karangkraf merupakan platform para pelajar menunjukkan kreativiti untuk menarik pelanggan.

Guru Perpustakaan dan Media, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Cikgu Nurafidah Mohd Khalid berkata, penyertaan yang melibatkan banyak sekolah telah membangkitkan satu perasaan ingin bersaing secara sihat.

Iklan
Iklan

"Apabila berbicara mengenai perniagaan, perkara utama yang dititikberatkan adalah mengenai keuntungan. Jadi saya membantu anak didik memikirkan cara di luar kotak untuk meraih keuntungan.

"Setelah melalui proses perbincangan, kami (SMK Putrajaya Presint 9 (2)) memilih untuk membuat kelainan dengan menampilkan maskot katak bagi menarik pengunjung membeli produk yang dijual,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.

Iklan

Mengulas mengenai Hari Kantin berkenaan, Cikgu Nurafidah memaklumkan, ia merupakan acara yang julung kalinya dilakukan di luar sekolah.

Tambah beliau, kebiasaannya Hari Kantin hanya melibatkan murid dan pelajar dari sekolah sama tetapi berbeza dengan konsep yang diketengahkan oleh pihak penganjur.

Iklan

Jelas Cikgu Nurafidah, penyertaan yang melibatkan banyak sekolah secara tidak langsung membantu anak didiknya membina keyakinan diri untuk berdepan dengan mereka (murid dan pelajar) dari sekolah berbeza.

Dalam pada itu, Cikgu Nurafidah memberitahu bahawa SMK Putrajaya Presint 9 (2) menjadi peserta tunggal dari Wilayah Persekutuan.

"Tujuan utama menyertai Hari Kantin adalah sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti yang dilakukan Sinar Bestari kerana mereka banyak membantu kami menerusi program TV Pusat Sumber Sekolah (PSS).

"Walaupun Putrajaya bukan sebahagian dari Selangor tetapi kami terhutang budi dengan Karangkraf kerana banyak membantu perkembangan pelajar.

"Kami menyertai Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN sebagai tanda menghargai bantuan di samping memeriahkan lagi karnival dan melatih pelajar berniaga,” ujarnya.

Pada masa sama, Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN turut menampilkan Chef Asma Nordin dalam sesi demonstrasi masakan sempena Karnival Rakyat Karangkraf.

Asma berkata, demonstrasi masakan adalah berkonsepkan kuih tradisional yang mudah untuk disediakan.

"Hari ini, saya menunjukkan cara menyediakan tiga kuih tradisional iaitu Bako Nyor, Cara Berlauk dan Akok Terengganu.

"Kesemua menu yang saya sediakan ini sangat mudah untuk disediakan kerana ia menggunakan peralatan moden. Bahan-bahan yang digunakan juga mudah untuk didapati,” ujarnya.