Terpaksa bawa adik tinggal di asrama kolej selepas ibu meninggal

Iklan
Noor Ashikin membantu adiknya mengulangi kaji pelajaran.

Ketika rakan sebayanya ramai yang telah berjaya mengejar cita-cita, namun Puteri Noor Ashikin Abdullah, 29, pula terpaksa melupakan hasrat itu meskipun mempunyai segulung ijazah.

Tanggungjawab graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu lebih tertumpu kepada dua adiknya iaitu Putera Sharul Kusyairi, 13, yang menghidap disleksia dan Putera Amirul Rashidin, 17, selepas mereka kehilangan tempat bergantung sejak 10 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Puteri Noor Ashikin, dia memikul tanggungjawab berkenaan selepas ibunya meninggal dunia akibat kemalangan 10 tahun lalu, yang mana ketika itu usianya baharu 19 tahun.

"Waktu itu pula saya sedang melanjutkan pengajian peringkat diploma di sebuah IPTS di Mantin, Seremban, Negeri Sembilan dan selama ini, hanya ibulah tempat kami bergantung.

Iklan

Menurutnya, ketika itu, usia adiknya baharu tujuh tahun dan dia bernasib baik kerana rakan sebilik memahami masalah dihadapi.

Tambah beliau, adik bongsunya pula yang masih bayi dijaga sementara oleh rakan ibu di Perak.

Iklan

Bagaimanapun katanya, tidak lama kemudian, ibu dan bapa saudaranya telah menghantar kedua-dua mereka ke pusat kebajikan, sebelum dia mengambil keputusan menjaga mereka sendiri.

"Selepas habis praktikal diploma, saya nekad mengambil dan menjaga adik sendiri kerana saya tahu mereka perlukan saya.

Puteri Noor shikin turut menyediakan perkhidmatan home tutor secara dalam talian.

"Kami kemudiannya menyewa di Mantin dan untuk menyara diri dan adik-adik, saya bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah IPTS, namun tak bertahan lama kerana kolej itu terpaksa ditutup akibat Covid-19," katanya.

Dia kemudiannya bekerja sebagai guru tadika sebelum membuka 'home tutor' sendiri yang kini menjadi sumber pendapatannya buat menyara keluarga.

Ujar Puteri Noor Ashikin, dia ada menerima pelbagai tawaran pekerjaan lain dengan gaji yang lebih baik, namun terpaksa ditolak kerana mengenang adiknya yang tiada orang jaga.

Disebabkan itulah kata Puteri Nur Ashikin, dia lebih selesa memilih untuk bekerja sendiri kerana tidak terikat dengan sesiapa.

"Jadi buat masa ini, inilah saja pilihan kerja yang saya ada dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan dan itu pun bergantung kepada jumlah pelajar.

"Saya tak risau dengan adik saya yang berusia 17 tahun itu kerana dia tinggal di Darul Asnaf Sendayan di bawah perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Bagaimanapun dia mengakui pendapatan diterima tidak mencukupi, malah rumah sewanya telah tertunggak tiga bulan.

Katanya lagi, dia ada menerima bantuan bulanan RM450 daripada Baitulmal serta barangan dapur yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya.

"Saya sebenarnya mempunyai impian memiliki perniagaan sendiri dan nak kembangkan projek home tutor ini, cumanya saya tiada modal.

"Saya ada sediakan modul pembelajaran untuk anak tadika hingga Tingkatan Lima di sekitar Nilai dan Mantin. Alhamdulillah dapat maklum balas positif dari ibu bapa, cuma malangnya saya tiada kemampuan untuk kembangkannya kerana kekangan kewangan," katanya.