Dalam era Revolusi Industri 4.0, di mana teknologi digital telah menjadi nadi kehidupan moden, generasi muda kita sedang berhadapan dengan cabaran yang belum pernah dihadapi oleh generasi sebelumnya iaitu kecanduan digital.
Fenomena ini kini diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam serius oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukan sekadar isu penggunaan berlebihan peranti elektronik, tetapi merupakan sindrom kompleks yang memberi impak mendalam terhadap perkembangan kognitif, emosi, dan sosial generasi muda.
Bayangkan sebuah dunia di mana realiti maya sering kali lebih menarik daripada dunia sebenar.
Inilah realiti yang dihadapi oleh banyak remaja dan belia hari ini.
Telefon pintar, tablet, dan komputer riba telah menjadi sebahagian dari diri mereka, menawarkan akses tanpa henti kepada rangkaian sosial, permainan dalam talian, serta lautan maklumat yang tiada penghujungnya.
Namun, di sebalik kemudahan dan hiburan yang ditawarkan, ia telah mengundang bahaya senyap tetapi nyata.
Menurut laporan pada tahun 2023, purata masa skrin harian untuk remaja Malaysia kini mencecah 9 jam sehari, meningkat sebanyak 30% berbanding lima tahun yang lalu.
Angka ini bukan sahaja membimbangkan dari segi produktiviti, tetapi juga mencetuskan kebimbangan serius tentang kesihatan fizikal dan mental generasi muda kita.
Penggunaan peranti digital berlebihan juga boleh mengubah struktur dan fungsi otak remaja yang masih berkembang, sekali gus menjejaskan kemahiran berfikir aras tinggi, kawalan diri, serta keupayaan untuk berempati.
Kenyataan ini disokong oleh kajian neurosains terkini menunjukkan perubahan dalam litar ganjaran otak akibat penggunaan media sosial dan permainan dalam talian yang berlebihan.
Lebih membimbangkan lagi, kecanduan digital kini dikaitkan dengan fenomena baru yang digelar"kemabukan emosi digital" iaitu situasi di mana individu mengalami turun naik emosi ekstrem akibat interaksi dalam talian.
Individu ini kelihatan seolah-olah mabuk, bukan kerana alkohol, sebaliknya oleh penggunaan media digital yang berlebihan.
Bayangkan seorang remaja yang menghabiskan berjam-jam lamanya dalam talian, bermain permainan video atau melayari media sosial.
Apabila dia menerima komen negatif atau kalah dalam permainan tersebut, tercetuslah kemarahan tidak terkawal atau mungkin kemurungan yang mendalam.
Dr George Lynn, seorang pakar psikoterapi dari Seattle, menjelaskan bahawa 80 peratus daripada kes yang dirawatnya berpunca daripada penggunaan media skrin tidak terkawal.
Ini termasuk permainan video, menonton video dalam talian, dan penggunaan media sosial yang berlebihan.
Penggunaan media digital berlebihan boleh mengubah struktur dan sambungan dalam otak, terutamanya bagi kanak-kanak serta remaja yang otaknya masih dalam proses perkembangan.
Keadaan ini boleh menjejaskan kawalan diri dan keupayaan untuk mengawal emosi.
Bagi menangani kecanduan digital, suatu pendekatan holistik yang melibatkan individu, keluarga, institusi pendidikan, dan masyarakat perlu dibangunkan secara keseluruhan.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan bagi membendung kecanduan digital daripada terus merebak.
Langkah pertama ialah amalan ‘detoks digital’ selama 24 jam setiap minggu boleh membantu menurunkan tahap tekanan individu sebanyak 30 peratus.
Langkah kedua pula ialah pengamalan teknik ‘mindfulness’ bagi mengurangkan ketagihan terhadap teknologi dan media sosial.
Mereka boleh melatih diri dengan menetapkan had masa untuk melayari media sosial dan patuh secara berdisiplin pada ketetapan tersebut.
Seterusnya, penglibatan dalam aktiviti fizikal turut dapat membantu mengalihkan tumpuan daripada dunia digital kepada dunia nyata.
Penyertaan dalam aktiviti sukan bukan hanya dapat menyihatkan tubuh badan bahkan dapat dijadikan platform untuk mengeratkan hubungan dengan kenalan dan ahli keluarga.
Kecanduan digital dalam kalangan generasi muda Malaysia merupakan isu yang kompleks, mencerminkan perubahan pesat dalam landskap teknologi dan sosial negara kita.
Ia merupakan cabaran generasi terkini yang memerlukan panduan dari generasi sebelumnya.
Disebalik bahaya kecanduan digital, masih terdapat potensi besar dalam bidang komunikasi media sosial dan teknologi yang perlu diterokai.
Cabarannya adalah untuk mengintegrasikan teknologi dalam kehidupan seharian secara lebih sihat dan bermakna, bukan menolak sepenuhnya.
Justeru,semua pihak haruslah memberi tumpuan kepada pembangunan literasi digital yang komprehensif termasuk kemahiran berfikir kritis, etika dalam talian, dan keupayaan untuk menggunakan teknologi secara produktif.
Memandangkan landskap digital sentiasa berubah, pendidikan tentang penggunaan teknologi secara sihat perlu menjadi proses berterusan yang meliputi semua peringkat umur, bukan hanya tertumpu kepada remaja.
Kita perlu ingat bahawa matlamat kita bukanlah menghapuskan teknologi dari kehidupan generasi muda, tetapi untuk membimbing mereka ke arah penggunaan yang seimbang, bertanggungjawab, dan bermakna.
Berbekalkan pendekatan yang tepat, kita boleh membantu generasi muda menavigasi dunia digital dengan lebih keyakinan, membina daya tahan emosi, dan memanfaatkan teknologi sebagai alat untuk kemajuan peribadi serta masyarakat.
Dalam menghadapi cabaran kecanduan digital, kita juga diberi peluang untuk mendefinisikan semula hubungan kita dengan teknologi dan sesama insan.
Situasi ini adalah peluang untuk membina masyarakat digital yang lebih sihat, lebih bermakna, dan lebih manusiawi, iaitu satu masyarakat di mana teknologi menyokong, bukan menggantikan, hubungan serta pengalaman manusia autentik.
Maklumat Penulis
Pensyarah Komunikasi, UiTM Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my