Dalam usaha berterusan menangani kos sara hidup dan memperkukuh kesejahteraan rakyat, kerajaan Malaysia telah melancarkan satu inisiatif yang cukup bermakna iaitu bantuan e-Sara 100.
Bantuan ini disalurkan melalui platform e-dompet, bantuan ini juga menyasarkan golongan pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah, dengan harapan dapat meringankan beban kewangan harian mereka.
Langkah ini bukan sekadar pemberian tunai, tetapi satu strategi menyeluruh yang menyentuh aspek sosial, pendidikan dan ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan seperti e-Sara bukan sahaja dapat membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, tetapi juga menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pembeli.
Ini satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih moden dan efisien.
Pandangan ini memperlihatkan bahawa e-Sara 100 bukan sekadar intervensi jangka pendek, tetapi satu usaha membentuk budaya kewangan yang bertanggungjawab dan celik digital dalam kalangan generasi muda.
Objektif dasar yang menyeluruh
Objektif utama pelaksanaan bantuan e-Sara 100 adalah untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah serta memperkukuh kesejahteraan sosial melalui sokongan kewangan yang bersasar.
Di samping itu, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan generasi muda, sekali gus ini dapat memupuk budaya pengurusan kewangan yang bijak, dan merangsang aktiviti ekonomi domestik melalui peningkatan perbelanjaan di peringkat akar umbi.
Dengan pendekatan yang bersifat inklusif dan progresif, bantuan ini turut menyokong aspirasi negara ke arah pendigitalan ekonomi dan pembangunan masyarakat yang lebih celik teknologi.
Ia bukan sahaja menyasarkan golongan pelajar, tetapi turut memberi kesan limpahan kepada komuniti setempat dan sektor perniagaan kecil.
Manfaat langsung kepada pelajar
Bagi pelajar, terutamanya mereka yang berada di tahun akhir dan menetap di luar kolej kediaman, e-Sara 100 ini datang tepat pada waktunya kerana kos membeli bahan mentah, makanan harian, alat tulis dan buku rujukan bukanlah sesuatu yang ringan.
Oleh itu, dengan adanya bantuan ini, pelajar dapat memenuhi keperluan asas tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa.
Ini memberi mereka ruang untuk fokus kepada pelajaran dan tugasan akademik tanpa tekanan kewangan yang membebankan.
Bantuan ini juga memberi kesan kepada pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum dan projek akademik.
Kos penyertaan pertandingan, pembelian bahan projek dan keperluan logistik sering menjadi halangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
Dengan adanya bantuan ini, mereka berpeluang menyertai aktiviti pembangunan diri tanpa rasa terpinggir.
Lebih menarik, penggunaan e-dompet sebagai medium transaksi memperkenalkan pelajar kepada sistem kewangan digital yang semakin berkembang.
Melalui pengalaman ini, pelajar dididik untuk menguruskan wang secara bijak, membuat keputusan perbelanjaan yang berhemah dan memahami nilai setiap ringgit yang dibelanjakan.
Dalam jangka panjang, ini membentuk generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi sebenar.
Tambahan pula, bantuan ini memberi kesan psikososial yang positif kepada pelajar.
Dengan keperluan asas yang terjamin, pelajar dapat belajar dalam keadaan yang lebih stabil, tenang dan seimbang dari segi emosi.
Ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik dan kesejahteraan mental pelajar secara menyeluruh.
Bagi pelajar luar bandar dan dari kawasan pedalaman, bantuan ini juga membuka akses kepada kemudahan pembelian digital yang sebelum ini mungkin terbatas. Ia mendorong pelajar untuk lebih celik teknologi dan berani mencuba kaedah baharu dalam urusan harian mereka.
Impak berganda kepada ekonomi tempatan
Kesan bantuan ini tidak terhenti kepada pelajar semata-mata. Apabila mereka membelanjakan wang tersebut di premis tempatan seperti kedai buku, kantin, pasar raya dan gerai makanan, ia merangsang semula aktiviti ekonomi domestik.
Wang yang beredar dalam komuniti membantu peniaga kecil meningkatkan jualan, menambah stok dan membuka peluang pekerjaan baharu.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, turut menerima manfaat langsung.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, suntikan tunai seperti ini menjadi penyelamat kepada kelangsungan perniagaan mereka.
Tambahan pula, transaksi digital melalui e-dompet membolehkan kerajaan mengumpul data ekonomi yang lebih tepat, sekali gus merangka dasar yang lebih responsif dan berasaskan bukti.
Penggunaan teknologi kewangan (fintech) dalam kalangan pelajar juga mempercepatkan proses pendigitalan ekonomi negara.
Ia menyokong agenda transformasi digital nasional dan memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi global yang semakin berasaskan teknologi.
Selain itu, apabila pelajar mula membiasakan diri dengan transaksi digital, ia membuka peluang kepada inovasi perniagaan baharu seperti platform jualan dalam talian, perkhidmatan penghantaran makanan dan aplikasi pembelajaran berbayar.
Ini secara tidak langsung memperluas ekosistem digital negara dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Menuju masa depan yang inklusif dan mampan
e-Sara 100 bukan sekadar bantuan kewangan. Ia adalah pemangkin kepada perubahan budaya kewangan, pengukuhan ekonomi mikro dan pembangunan komuniti yang lebih inklusif.
Dengan pendekatan holistik ini, kerajaan bukan sahaja dapat menangani isu kos sara hidup, tetapi juga membina asas ekonomi yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
Inisiatif seperti e-Sara 100 membuktikan bahawa bantuan tunai, apabila dirancang dengan teliti dan disasarkan dengan tepat, ia mampu membawa impak berganda kepada rakyat dan negara.
Ia adalah langkah kecil dengan kesan besar dan pastinya satu langkah ke arah Malaysia yang lebih progresif.
Maklumat penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syahira Nor Azri
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my