Rezeki OKU fizikal sambung belajar di PSA

Iklan
Puteri Adriana Batrisyia (depan) bersama warga PSA yang memberi layanan terbaik sepanjang proses pendaftarannya di PSA.

Biarpun dilahirkan kerdil, namun itu bukanlah halangan buat Puteri Adriana Batrisyia Mohd Zulkulnain untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dia yang baru sahaja mendaftar di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) pada Isnin, mengakui sangat teruja apabila berjaya mendapat tempat di politeknik itu.

Iklan
Iklan

"Terima kasih kepada warga PSA kerana menerima saya walaupun dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.

"Sepanjang proses pendaftaran berlangsung, layanan dan sambutan yang diberikan cukup baik dan mesra. Saya benar-benar menghargainya. Terima kasih," katanya yang mengikuti program Diploma Pemasaran.

Iklan

Ibu Puteri Adriana Batrisyia yang dikenali sebagai Wan Hasimazlinda Wan Mazlan berkata, PSA dipilih kerana institusi tersebut telah berjaya melahirkan graduan yang menjadi rebutan majikan.

"Dia (Puteri Adriana Batrisyia) mendapat tawaran ke Tingkatan Enam, namun kami sekeluarga memilih PSA untuk pengajian seterusnya.

Puteri Adriana Batrisyia mengambil peluang bergambar bersama Zainah (kiri).

Iklan

"Mungkin rezeki di sini. Semoga dia selesa dan berjaya dalam pembelajaran di PSA nanti,” ujarnya.

Seramai 1,033 pelajar baharu telah mendaftar di politeknik itu pada hari pertama Sesi Akademik 1 2024/2025.

Dijangkakan jumlah tersebut akan meningkat berdasarkan statistik UPUOnline iaitu 1,288 setuju menerima tawaran.

Menurut Pengarah PSA, Zainah Rujihan, peningkatan lebih 30 peratus itu mencerminkan politeknik tersebut sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasinal (TVET) yang menjadi pilihan ramai.

"Ia merupakan satu lonjakan besar selaras dengan hasrat kerajaan.

"Saya berharap para pelajar mengambil peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan lebih terjamin,” katanya.

Untuk rekod, pelajar baharu yang mendaftar di PSA akan menjalani Minggu Haluan Siswa (MHS) selama seminggu sebelum kelas bermula.

MHS yang berkonsepkan orientasi, wajib dilalui mereka sebagai proses persediaan dan pendedahan mengenai alam pendidikan, budaya dan aspek pembinaan sahsiah di politeknik.