Lima guru bersara serentak

Iklan
Lima guru yang bersara (dua dari kiri), Cikgu Zarina, Cikgu Rosnani, Cikgu Mohamad, Cikgu Zaidah dan Cikgu Shukinah.

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun Kedah kehilangan lima guru serentak apabila mereka bersara wajib, baru-baru ini.

Guru-guru tersebut iaitu Cikgu Mohammad Hashim, Cikgu Zarina Bakar, Cikgu Zaidah Chin, Cikgu Rosnani Said dan Cikgu Shukinah Shuib diraikan secara besar-besaran oleh warga sekolah sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa serta sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan.

Iklan
Iklan

Menurut Guru Besar, Cikgu Mohd Nizam Saidin, persaraan mereka menjadi satu lembaran sejarah yang baharu di sekolah itu.

"Tidak pernah berlaku beberapa guru bersara dalam satu masa.

Iklan

"Memang agak sedih apabila ketiadaan lima guru ini kerana mereka cukup pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Terima kasih atas segala pengorbanan, kesabaran dan usaha yang telah dicurahkan. Jasa kalian akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh seluruh warga sekolah,” katanya.

Acara memotong kek oleh guru diraikan dalam Semarak Budi Lambaian Kasih.

Iklan

Sebelum itu, Semarak Budi Lambaian Kasih yang bertemakan golongan bangsawan adalah majlis anjuran SK Dato Wan Kemara bertujuan meraikan guru-guru hebat yang menamatkan perkhidmatan sebagai pendidik.

Pelbagai aktiviti telah disediakan kepada mereka antaranya nyanyian warga sekolah khas untuk yang diraikan, deklamasi sajak, tayangan video kreatif, seloka bermadah dan sebagainya.

Turut diadakan majlis penanaman lima pokok manggis di laman sekolah oleh guru-guru terlibat.

Sementara itu, Cikgu Shukinah telah menitipkan sedikit nasihat kepada barisan guru-guru muda mengenai dunia pendidikan.

"Pendidik (guru) perlu lahir dengan roh, agar dapat mendidik dengan hati dan jiwa. Tanpa roh sebagai guru, akan timbul perasaan tugas guru penat dan membosankan.

Cikgu Shukinah (kiri) menitipkan sedikit nasihat kepada warga sekolah.

"Sepanjang 32 tahun bergelar guru, setiap hari saya melalui perkara-perkara yang membahagiakan dengan tugas biarpun ada kalanya sedikit kecewa dengan kerenah kenakalan murid. Tetapi semua itu terpadam apabila melihat peningkatan mereka dalam pembelajaran,” katanya.

Manakala, Cikgu Zarina pula berkata, jiwa sebagai pendidik harus sentiasa mekar dalam diri.

"Dengan jiwa pendidik, sudah pasti kita sentiasa mahu melihat kejayaan anak-anak didik. Kita juga tidak akan mudah kecewa dengan setiap tingkah laku mereka yang kurang menyenangkan,” jelasnya.

Cikgu Mohd Nizam (tiga dari kanan) dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zainol Abidin Mohamad (tiga dari kiri) bersama-sama lima cikgu bersara wajib, baru-baru ini.