IMU lantik Naib Canselor baharu

Iklan
Pelantikan Asma (kanan) bagi mengambil alih tampuk kepimpinan Abdul Aziz yang memulakan perjalanan kerjayanya di IMU pada Julai 2013.

Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) melantik ahli akademik jurusan sains biologi, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail sebagai Naib Canselor baharu bagi universiti itu.

Kenyataan media IMU pada Khamis memaklumkan, pelantikan Asma adalah bagi mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Profesor Dr Abdul Aziz Baba yang memulakan perjalanan kerjayanya di IMU pada Julai 2013.

Iklan
Iklan

Malah, pelantikan beliau (Asma) juga tepat pada waktunya kepada IMU yang mula memberi tafsiran lebih meluas mengenai pendidikan penjagaan kesihatan holistik, sejajar dengan pendekatan ‘One Health’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangkumi program kesihatan haiwan dan alam sekitar, perniagaan, komunikasi serta teknologi.

Menurut Asma, dia berazam memberi impak yang bermakna sepanjang berkhidmat di IMU.

Iklan

"Matlamat saya adalah untuk membawa universiti yang mantap dan dihormati ke tahap seterusnya.

"Saya mahu menjadikan IMU sebagai universiti pilihan, baik di dalam mahupun di luar negara, untuk pendidikan penjagaan kesihatan melalui komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan yang sentiasa diperbaharui di samping memberikan pelajar kita pengalaman berharga global yang sebenar dan penglibatan komuniti,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Canselor IMU, Tan Sri Datuk Dr Abu Bakar Suleiman berkata, kepimpinan dan kemahiran Asma akan membantu IMU mempertingkatkan misi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Ia selaras dengan usaha universiti itu yang sentiasa merangka laluan lebih inklusif terhadap kepelbagaian dan kedinamikan hubungan antara manusia dan planet.

"Beliau (Asma) menjadi penggerak perubahan positif dan tidak gentar untuk mencabar kebiasaan.

"Oleh itu, kami sangat berbesar hati menerima kehadiran ahli akademik yang terbilang ini ke sini.

"Kami tidak sabar menantikan wawasan dan perkembangan yang akan beliau bawa ke institusi yang kami sayangi ini,” katanya.