Mahasiswa Tahun Dua, Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil merangkul Anugerah Putra Ikon (API) UPM 2024.
Kejayaan itu membolehkan Ahmad Danish Iskandar membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000 yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.
Dalam masa sama, Ahmad Danish Iskandar menerima trofi kemenangan dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian sepanjang bergelar penuntut di UPM.
Menurut anak sulung daripada tujuh beradik, kejayaan diterimanya itu adalah datang daripada doa kedua ibu bapanya.
"Segala kejayaan yang saya kecapi hari ini adalah hasil doa dan restu mereka.
"Tanpa semua ini, saya tidak mungkin dapat mencapai segala impian dan matlamat.
"Terima kasih atas segala pengorbanan, kasih sayang dan doa yang tidak pernah putus. Andalah sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya.
Terdahulu, API merupakan anugerah tertinggi UPM yang diadakan setiap tahun untuk mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan yang holistik dan kompeten selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025 dan Pelan Strategik UPM 2021 - 2025.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kecemerlangan dan keunggulan diri yang baik adalah sesuatu yang harus diikuti oleh semua penuntut.
"Apabila mahasiswa cemerlang, ia menjadi inspirasi kepada penuntut lain untuk turut sama mencapai kecemerlangan. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mencari inspirasi,” ujarnya.