Memperkaya pengalaman graduan melalui penglibatan industri dalam pendidikan tinggi

Iklan
Komunikasi antara golongan pendidik dan golongan industri sangat berfaedah bagi menyediakan graduan yang boleh berkhidmat serta-merta secara efektif.

Kepentingan penglibatan industri dalam pembelajaran di peringkat pengajian tinggi tidak dapat dinafikan.

Kerjasama erat dengan industri pasti dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, terutamanya dalam konteks semasa di mana seramai 29,000 graduan masih menghadapi cabaran mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2022.

Iklan
Iklan

Bagi memperkukuhkan penglibatan industri dalam pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan:

Pertama, jemput pakar industri berpengalaman untuk memberi kuliah di dalam kelas dengan berkongsi pengalaman dan memberikan pendedahan relevan dengan mata pelajaran yang dipelajari. Inisiatif ini juga dikenali sebagai"Industry Guest Lecture" di beberapa institusi pengajian tinggi.

Iklan

Kedua, membangunkan program bimbingan profesional melibatkan mentoring dari profesional industri serta alumni. Alumni yang berjaya mampu membantu pelajar untuk merancang masa depan dan hala tuju dengan lebih baik.

Ketiga, meningkatkan kekerapan lawatan akademik ke syarikat-syarikat secara berkala sebagai pendedahan awal kepada pelajar berkenaan operasi sebenar dalam industri, budaya kerja dan etika profesional.

Iklan

Keempat, memperluaskan kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi bagi mengintegrasikan teknologi terkini dalam proses pembelajaran. Contohnya, dalam bidang perakaunan, penggunaan perisian perakaunan dan"big data analysis” perlu diterapkan untuk mempersiapkan pelajar dalam menghadapi cabaran revolusi industri 4.0.

Kelima, mengukuhkan kolaborasi dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang melibatkan industri, pensyarah dan pelajar untuk menyelesaikan masalah sebenar dalam industri serta memenuhi keperluan pasaran.

Keenam, memperluas dan memperkukuhkan program latihan industri serta pendekatan inisiatif"work-based learning” yang membolehkan pelajar menggabungkan teori dengan praktik dalam persekitaran sebenar industri.

Dengan mengukuhkan penglibatan industri dalam pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan di pasaran global, tetapi juga menyokong pembangunan mampan secara holistik yang selaras dengan prinsip-prinsip Pengurusan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Uniten Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Nurul Nadiah Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my