Pasangan kembar tak pernah berenggang, luah hasrat lanjut pengajian sama di UMS

Iklan
Evana (kanan) ditemani adik kembarnya, Evany selepas menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2024 di SICC, Kota Kinabalu.

Walaupun pasangan kembarnya tidak menerima tawaran biasiswa namun Evana Rusilih, 20, tidak akan sesekali berenggang dengan adik malah berhasrat akan meneruskan pengajian bersama-sama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) nanti.

Evana yang juga pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan, Tuaran berkata, dia dan kembarnya, Evany akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang pendidikan.

Iklan
Iklan

"Selama ini kami berdua tidak pernah berenggang termasuk ketika berpindah sekolah dari Tenom, kami tetap bersama-sama bersekolah di Tuaran.

"Walaupun keputusan STPM saya mendapat gred Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 tetapi saya tekad untuk tetap bersama dengan adik untuk belajar bersama-sama di UMS nanti," katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Iklan

Ditanya mengenai latar belakang keluarganya, Evana berkata, mereka datang dari keluarga yang kurang berkemampuan di mana bapanya telah meninggal dunia sejak dia dan kembarnya berusia tujuh tahun manakala ibunya pula seorang petani.

"Sebelum ini, kami tinggal di Tenom tetapi ketika berusia 16 tahun, kami berpindah ke rumah ibu saudara yang juga guru di Tuaran.

Iklan

"Ibu saudara mahu kami belajar dengan bersungguh-sungguh dan dialah yang bertanggungjawab menanggung kami dua beradik di sini," katanya.

Evana berkata, dia dan kembarnya ingin menjadi guru kerana terinspirasi dengan kerjaya seorang pendidik daripada ibu saudaranya itu.

"Saya memilih UMS kerana mahu berada di tempat sendiri dan jika ada rezeki dalam bidang pendidikan, saya mahu berbakti pada anak bangsa di Sabah ini juga," katanya.

Sebelum itu, Evana antara lebih 80 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima tawaran biasiswa daripada kerajaan Sabah.

Sementara itu, kembarnya Evany berkata, walaupun tidak mendapat keputusan seperti kakaknya namun dia tekad akan terus berusaha di peringkat universiti kelak.

"Semasa kami belajar pun kami banyak melakukan perkara bersama-sama cuma keputusan kakak lebih cemerlang. Tetapi saya tidak akan berputus asa dan akan cuba lagi untuk lebih cemerlang," katanya yang mendapat keputusan 3.84 PNGK dalam STPM 2023.