Dalami ilmu sains cara berbeza

Iklan
Pelajar-pelajar ditunjukkan kajian mikrob dan parasit.

Pelajar teruja didedahkan pendidikan sains di UiTM Puncak Alam

Seramai 250 peserta sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor menyertai Scientific Discovery, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor itu bertujuan mendedahkan cara atau kaedah terbaik dalam menarik minat pelajar mencintai dan mengenali cabang ilmu sains kesihatan secara lebih dekat.

Iklan
Iklan

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Asas, Razif Dasiman, program itu juga adalah salah satu inisiatif pihak fakulti meningkatkan kefahaman generasi muda dalam bidang sains tulen yang ada dalam lapangan sains kesihatan.

"Antara pengisian program yang dijalankan ialah perkongsian kajian-kajian penyelidikan sains kesihatan berkaitan ilmu kaji darah hematologi, kajian toksikologi zebrafish, kajian neuro farmakologi berkaitan otak, teknik menggunakan pipet yang betul, kajian histologi dan pameran struktur anatomi manusia,” katanya semasa menghadiri program itu di Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam.

Iklan

Sehubungan itu, peserta turut didedahkan dengan simulasi klinik sebenar menggunakan model patung pesakit, simulasi wad hospital di Clinical Skills Lab dan juga lawatan ke Klinik Optometri bagi memahami proses perjalanan sebuah premis klinik mata.

Pelajar didedahkan situasi sebenar merawat pesakit di wad simulasi.

Iklan

Sepanjang sesi Scientific Discovery itu, peserta-peserta juga berpeluang melihat secara lebih jelas model dan sampel-sampel kajian sains yang ditunjukkan pelajar pascasiswazah penyelidikan.

Mereka juga diberi peluang menggunakan alat-alat pemprosesan sampel penyelidikan seperti Dino Eye untuk menganalisis sampel embrio zebrafish dan pemprosesan sampel organ haiwan menggunakan alat mikrotom untuk menyediakan potongan organ bagi slaid histologi.

Dalam pada itu, sesi kuiz sains berkaitan pameran yang disediakan turut dijalankan selepas sesi penerangan pameran dijalankan di makmal-makmal terlibat.

Di akhir sesi, ceramah penawaran kursus akademik berkaitan misi akademik sains kesihatan telah dijalankan bagi memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan di FSK, UiTM.

Peserta diajar teknik menggunakan pipet dengan betul.