Keunikan SETARA Lagoon tarik perhatian warga maya!

Iklan
Sebelum (kiri) dan selepas (kanan) SETARA Lagoon mengundang kekaguman ramai.

Sekolah Kebangsaan Taman Sutera (SETARA), Johor Bahru, Johor antara sekolah yang cukup aktif dalam mencipta persekitaran yang lebih hijau dan bersih.

Inisiatif yang dilakukan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti fizikal persekitaran sekolah, tetapi juga menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan warganya.

Iklan
Iklan

Terbaharu, SETARA baru sahaja menyiapkan kawasan air tenang seumpama kolam yang dipanggil SETARA Lagoon.

Difahamkan, kolam dihasilkan itu mengambil inspirasi daripada dekorasi Forest City Johor Bahru.

Cikgu Mohd Aidil (kanan) turut serta menyiapkan SETARA Lagoon di sekolahnya.

Iklan

Menurut Penyelaras Kelestarian merangkap Guru Bimbingan Kaunseling Lantikan Dalaman, Cikgu Mohd Aidil Sahipaludin, 34, SETARA Lagoon adalah sebahagian daripada Taman Lestari Minda Sihat di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling.

"Ia berfokuskan taman yang indah, tenang, relaksi dan menyegarkan emosi murid-murid.

Iklan

"Wujudnya SETARA Lagoon ini memberikan nilai tambah kepada keindahan sekolah.

"Ia kerana, sebelum ini sekolah sudah memiliki terapi sukan (tapak golf), taman flora dan fauna (tanaman sayur-sayuran nutripot dan hydropinik), terapi muzik dengan lagu kelestarian, terapi aroma bauan bunga-bungaan, laman seni kitar semula, bilik kuru-kuru, tandas lima bintang, kantin gred A, laman kompos dan lorong kelestarian,” katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari.

Mengulas lanjut, Cikgu Mohd Aidil berkata, pihak sekolah hanya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan SETARA Lagoon.

Ujarnya, kerjasama daripada para pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid banyak membantu projek kelestarian berkenaan berjalan lancar.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cikgu Ruhana Wahab merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak kerana berjaya menyiapkan SETARA Lagoon dalam tempoh singkat.

"Terima kasih terutamanya kepada Guru Besar, Cikgu Naidatul Zamrizam Abu kerana sentiasa menyokong usaha para guru SETARA yang proaktif berbakat dan sentiasa berkongsi idea segar demi memastikan kemenjadian murid diutamakan di sekolah ini,” ulasnya dengan berkongsi kegembiraan di mana SETARA baharu sahaja dianugerahkan Sekolah Showcase Pendidikan Kelestarian.