Keluarga seorang remaja, Mohd Hidayat Mujahid Mohamed So'od,13, merayu bantuan kaki palsu selepas kaki kiri anaknya dipotong, baru-baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, Pahang itu tidak dapat meneruskan persekolahan selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Jun lalu.
Bapanya, Mohamed So'od Abdullah, 57, berkata, penyakit anak bongsu daripada lima beradik itu dikesan selepas mengadu sakit kaki kerana menyertai larian rentas desa sekolah pada Mei lalu.
"Selepas sehari menyertai larian itu, anak mengadu sakit kaki, pada mulanya ingat sakit biasa tapi tetap tidak hilang selepas pergi tiga klinik mendapatkan rawatan.
"Kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan hasil ujian imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), terdapat ketulan tulang dan disahkan menghidap kanser tulang selepas hasil biopsi pada penghujung Jun," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Gau Idaman, pada Jumaat.
Ujarnya, penderitaan anaknya makin bertambah selepas bengkak pada kaki membesar dan pecah hingga keputusan muktamad terpaksa dilakukan dengan membuang kaki kiri remaja itu pada penghujung Julai lalu.
"Pada mulanya berat hati juga ambil keputusan ini tapi selepas melihat kesakitan yang dialami anak yang turut bersetuju dan reda maka pembedahan dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, baru-baru ini.
Anak sendiri cakap memang tidak tahan tanggung sakit dan dia positif malah pernah sebut, reda kalau meninggal dunia boleh masuk syurga cuma kadangkala ada juga emosi, mengadu sakit seolah-olah macam ada kaki lagi," tambahnya.
Ujarnya, isterinya, Zanariah Abu Sah, 50, menguruskan penjagaan anaknya itu selain dibantu dirinya selepas selesai melakukan pekerjaan sebagai pembantu dobi dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.
Dia juga perlu menanggung dua anaknya yang masih belajar iaitu Hani Khalilah,19, yang menyambung pengajian Diploma Teknologi Maklumat (IT) di Politeknik Muadzam Shah, Rompin dan Mohd Hakimi Solihin,15, di SMK Seberang Temerloh.
"Buat masa ini, selain bekalan susu yang diberikan oleh pihak hospital, saya juga membeli susu ramuan khas selain lampin pakai buang dewasa dan syukur berat badan anak sedikit naik berbanding sebelum ini.
"Dan saya berharap untuk mendapatkan bantuan kaki palsu sesuai dengan keadaan anak," katanya dalam proses mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Reda dengan ujian yang dihadapi, dia berharap dan berdoa agar penyakit anaknya segera sembuh serta sel kanser tidak merebak.
"Untuk rawatan lanjut pada 11 Ogos ini, kami akan ke HoSHAS, selepas itu pihak Hoshas akan hantar ke HTA (Hospital Tunku Azizah) Kuala Lumpur dan pihak HTA yang akan tentukan untuk rawatan lanjutan," jelasnya lagi.
Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan mereka ke dalam akaun, 13151036504 (Hong Leong) atas nama Mohamed So'od Abdullah.