Semua sekolah diminta tingkat kawalan keselamatan

Iklan
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.

Pihak sekolah perlu mengetatkan kawalan keselamatan bagi memastikan semua kakitangan termasuk murid dan guru tidak terdedah kepada sebarang ancaman terutama daripada individu yang datang dari luar kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan kes melibatkan dua wanita termasuk guru besar sebuah sekolah yang cedera selepas ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau rambo, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap sekolah perlu dipastikan selamat bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

"Setiap sekolah kita mesti selamat, sebab itu komitmen kita tinggi bagi memastikan semua yang berada dalam kawasan tersebut selamat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kuala Nerus, Terengganu, Sabtu.

Ditanya mengenai status kes tersebut, jelas beliau, ia diserahkan kepada pihak berkuasa dan perkembangan lanjut akan maklumkan daripada masa ke masa.

Iklan

"Kita di pihak kementerian mengikuti rapat kes ini dan kita harap semua pihak dapat memberi ruang terhadap siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes seorang remaja menyamar sebagai doktor, Fadhlina berkata, perkara itu mengejutkan banyak pihak dan siasatan terperinci berhubung kes terbabit sedang dijalankan.

Jelas beliau, pemantauan yang lebih ketat terhadap pergerakan anak-anak oleh ibu bapa perlu termasuk mengetahui lokasi mereka berada bagi mengelak insiden itu berulang.

"Siasatan kes ini memerlukan pihak yang mengambil tanggungjawab penuh seperti ibu bapa dan yang terlibat secara keseluruhan dalam kes ini.

"Kita percaya ia tidak akan berlaku jika ada pemantauan ketat daripada keluarga masing-masing. Ibu bapa perlu juga ambil perhatian penuh serta bertanggungjawab bagi memastikan di mana anak mereka berada pada setiap masa," katanya.