Topeng Faisal Halim direka khas penyelidik UM

Iklan
Faisal Halim muncul di kerusi simpanan selepas insiden simbah asid pada perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala FA Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Pembandaran Petaling Jaya.

Kemunculan pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim yang ‘bertopeng’ dalam sesi pemanas badan pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lepas mencuri tumpuan umum.

Topeng muka itu bukanlah seperti topeng adiwira yang biasa dilihat, sebaliknya ia adalah rekaan khas oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) hasil kajian melalui BioApps Sdn Bhd berdasarkan nasihat daripada Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Iklan
Iklan

UM dalam kenyataan memaklumkan, BioApps Sdn Bhd adalah syarikat spin-off UM yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Penghasilan topeng muka khas ini adalah satu strategi utama UM untuk memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan universiti,” kata Noor Azuan dalam kenyataan itu.

Iklan

Pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan, Fakulti Perubatan UM, Dr Ahmad Hazwan Ahmad Shushami yang meneliti dan menilai kondisi Faisal pula berpendapat, pemain The Red Giants itu memerlukan topeng muka khas bagi melindungi parut dan kecederaan beliau untuk kembali beraksi di padang.

Oleh itu, dalam tempoh seminggu, BioApps Sdn Bhd berjaya menghasilkan topeng berkenaan setelah menerima rekomendasi daripada pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan.

Iklan

"Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.

Pelajar pascasiswazah kejuruteraan mekatronik Fakulti Kejuruteraan UM, Mouaz Al Kouzbary yang turut terlibat dalam penghasilan topeng itu pula berkata, untuk mengenal pasti bentuk kepala dan muka, pihaknya menggunakan teknologi saringan 3D manakala untuk menghasilkan topeng, teknologi percetakan 3D diperlukan.

Sementara itu, Faisal dalam kenyataan sama mengakui topeng muka khas itu membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey, membuat kemunculan kali pertama di khalayak ramai pada 16 Jun lepas pada perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. - Bernama