Barang kemas ukiran pelajar UiTM taraf antarabangsa

Iklan
Kolaborasi UiTM dan pakar industri membangun masa depan industri barang kemas Malaysia.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, menunjukkan komitmen dan kepakaran akademiknya dalam industri barang kemas dengan menyertai Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024, baru-baru ini.

Pameran berprestij anjuran Elite Expo Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang itu, berfungsi sebagai platform penting untuk pengeluar, pembeli, penjual, dan pereka barang kemas bagi meneroka peluang perniagaan yang luas.

Iklan
Iklan

Acara pameran yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos lepas di Setia SPICE, Pulau Pinang itu juga menampilkan reka bentuk barang kemas terkini serta teknologi pembuatan inovatif, memposisikan Malaysia sebagai pusat perdagangan emas dan barang kemas di peringkat global.

Penyertaan UiTM dalam pameran ini mendapat pengiktirafan istimewa melalui tajaan penuh yuran pameran sebanyak RM22,000 yang disumbangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd, Datuk Johnson Lim.

Iklan

Tajaan ini mencerminkan penghargaan terhadap kualiti dan potensi pelajar UiTM dalam industri barang kemas, sekali gus memberi mereka platform untuk mempamerkan bakat serta kemahiran mereka kepada dunia.

Kerjasama antara UiTM dan industri barang kemas merupakan lanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2023 antara Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM Shah Alam serta Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang.

Iklan

Sehubungan itu, kerjasama ini turut merangkumi penganjuran Pertandingan Reka Bentuk Barang Kemas PSG 2023, yang telah berjaya mencetus inspirasi dan menarik minat para pelajar untuk menceburi industri barang kemas.

Inisiatif ini memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri, dengan memperkenalkan bakat-bakat baru dari UiTM kepada pemain utama dalam industri barang kemas di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Pada masa yang sama, kerjasama ini memastikan kelestarian program melalui pelbagai inisiatif strategik dibentuk oleh UiTM, Elite Expo Sdn Bhd, dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang.

Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024 membuka peluang besar kepada pelajar UiTM untuk membina rangkaian dengan pemain utama industri, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hub perdagangan emas dan barang kemas yang terkemuka di peringkat antarabangsa.

Penyertaan UiTM dalam pameran ini tidak hanya memperlihatkan kematangan institusi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, tetapi juga menunjukkan keupayaan UiTM untuk terus memainkan peranan penting dalam mengangkat industri kreatif negara.

Untuk rekod, pameran barang kemas itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Hui Ying, disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd, Datuk Johnson Lim dan Presiden Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang, Ivan Chee.