Universiti Nottingham Malaysia, Madani Research Centre jalin kerjasama pendidikan

Iklan
MoU antara UNM dan MRC memberi tumpuan kepada pemupukan inovasi dan pembangunan penyelidikan.

Universiti Nottingham Malaysia (UNM) dan Madani Research Centre (MRC) mengumumkan kerjasama penyelidikan selama dua tahun untuk menaikkan taraf ekonomi Malaysia berdasarkan falsafah Malaysia Madani.

Kerjasama itu dimeterai melalui sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memberi tumpuan pemupukan inovasi dan pembangunan penyelidikan dalam bidang utama seperti pembinaan kapasiti, advokasi dasar dan penilaian impak untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Iklan
Iklan

Kerjasama dua tahun ini diketuai Profesor Madya, Nottingham University Business School, UNM, Dr Chan Sok Gee dan disokong pasukan penyelidik dan berpengalaman lain termasuk Dr Xiao Saizi dari Pusat Pengajian Ekonomi UNM; Profesor Seow Hsin-Vonn (Nottingham University Business School); Profesor Madya Dr Zulkukfly Ramly (Jabatan Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Profesor Dr Mohd Zaini Abdul Karim (Profesor Ekonomi Universiti Utara Malaysia).

Menurut Provost Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM, Profesor David FitzPatrick, kerjasama mereka dengan MRC mencerminkan komitmen jangka panjang untuk mengangkat Malaysia ke status negara maju.

Iklan

"Dengan mengintegrasikan kepakaran penyelidikan UNM dengan objektif strategik dan falsafah MRC, kami berhasrat memperkasakan perniagaan tempatan dengan keupayaan untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

"Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan peranan kami dalam memacu pembangunan kapasiti ekonomi tetapi juga membolehkan UNM meneruskan misi untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan dan inovasi yang memberi impak,” katanya.

Iklan

Naib Provost Penyelidikan dan Pertukaran Ilmu, UNM, Profesor Ir Dr Mohd Shahir Liew pula berkata, kerjasama yang terjalin adalah penting dalam memupuk inovasi dan membangunkan industri baharu di Malaysia.

Malah, mereka berharap dapat memanfaatkan kekuatan akademik dan penyelidikan untuk menangani cabaran utama masyarakat dan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Mohd Azmi Mat Nayan berkata, tumpuan mereka adalah membentuk dasar-dasar yang akan menjadikan Malaysia hab pelaburan menarik di rantau ini sekali gus memacu pembangunan negara.

"Melalui usahasama dengan UNM, kami komited untuk memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Usahasama ini adalah sebahagian misi kami dalam memajukan kepentingan strategik Malaysia, memupuk pembangunan mampan dan menyelaraskan pertumbuhan dengan prinsip-prinsip Malaysia Madani,” ujarnya.