Kebanyakan murid yang bersekolah di kawasan luar bandar terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak sememangnya tidak lari daripada berdepan dengan perjalanan yang memerlukan pengangkutan air seperti bot atau perahu.
Walaupun boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk lebih-lebih lagi melihat kepada keadaan cuaca buruk, situasi itu dianggap lumrah kerana tiada laluan darat yang menghubungkan jarak antara rumah ke sekolah atau mungkin laluan utama terputus akibat bencana alam seperti banjir.
Jadi tidak hairanlah jika hari ini murid di negeri-negeri berkenaan masih menggunakan bot atau perahu sebagai kenderaan untuk ke sekolah.
Menjadi isunya di sini selain turut mendapat perhatian warga maya, apabila kebanyakan murid yang menaiki bot atau perahu dilihat tidak memakai jaket keselamatan di mana ia sangat penting sekiranya berlaku perkara tidak diingini contohnya bot terbalik.
Malah sebelum ini juga media pernah melaporkan isu melibatkan sebilangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Sabah yang dilihat menaiki bot untuk ke sekolah namun tidak memakai jaket keselamatan.
Situasi ini sememangnya mengundang perhatian dan rasa bimbang orang ramai yang melihat ia sebagai tindakan tidak selamat apatah lagi melibatkan golongan murid sekolah di mana pasti ada antara mereka tidak mahir berenang.
Lebih menyayat hati lagi, keadaan tidak diingini itu telah terjadi awal pagi Selasa apabila negara dikejutkan dengan berita insiden perahu karam yang membawa 20 penumpang majoritinya adalah pelajar sekolah menengah.
Tragedi itu turut menyebabkan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, Sarawak telah hilang.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sayu dan menyuarakan beberapa pendapat untuk membina jambatan bagi memudahkan penduduk kampung khususnya murid sekolah.
Antara komen yang sempat dipetik;
"Jambatan sepatutnya ada terutamanya di kawasan berdekatan sekolah. Kesian betul anak-anak kecil jadi mangsa.”
"Semoga segala usaha dipermudah. Harap kerajaan segerakan pembinaan jambatan bagi penduduk kampung yang terlibat di kawasan tersebut.”
"Berharap selepas ini pihak kerajaan negeri cepat-cepat buat jambatan bagi memudahkan penduduk kampung Selampit. Semoga semua pelajar dapat dijumpai dalam keadaan selamat.”
Sehingga kini, ketiga-tiga mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari masih diteruskan oleh pihak bomba serta orang kampung.