Impian pelajar Orang Asli belajar di UIAM tercapai

Iklan
Muhammad Naufal Adam (dua dari kiri) menerima surat tawaran daripada Badri Najib yang turut disaksikan ayah dan ibunya.

Seorang pelajar Orang Asli yang meraih 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, mendapat tawaran kemasukan Asasi Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi sesi Akademik 2024/2025.

Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Iskandar Mersing, Johor, Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir itu ditawarkan biasiswa penuh sepanjang belajar di Pusat Asasi UIAM selama tiga semester.

Iklan
Iklan

Muhammad Naufal Adam berkata, dia berasa terharu dengan anugerah biasiswa tersebut.

"Memang menjadi impian saya untuk melanjutkan pengajian di UIAM ini.

Iklan

"Alhamdulillah impian saya tercapai dan doa kedua-dua ibu bapa saya termakbul," katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar kemasukan melalui Akademi Pengajian Siswazah dan Profesional UIAM (IIUM Academy) di UIAM Kampus Gombak.

Dia berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor sebelum ini pernah menyatakan cita-cita untuk menjadi seorang doktor dan memasang impian melanjutkan pengajian di UIAM.

Muhammad Naufal Adam

Iklan

Biasiswa tersebut adalah dari 'IIUM Academy IFP Scholarship' yang dianugerahkan kepada pelajar cemerlang terutamanya daripada golongan memerlukan bantuan kewangan.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia tidak akan mensia-siakan peluang diberikan serta memasang tekad untuk mengubah nasib keluarga menerusi pendidikan dan kejayaan yang akan dicapai.

"Sudah semestinya saya tidak akan mensia- siakan peluang yang diberikan kerana saya pasti hanya pendidikan dapat mengubah nasib keluarga saya.

"Sebagai anak sulung, sudah menjadi tanggungjawab untuk bantu keluarga kelak dan ia akan menjadi pemangkin semangat untuk adik-adik saya terus berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya," ujarnya

Sementara itu, Dekan Akademik IIUM, Profesor Madya Dr Badri Najib Zubir berkata, Muhammad Naufal Adam telah membuktikan kecemerlangannya di peringkat sekolah.

Tambah beliau, pihaknya ingin bersama membantu Muhammad Naufal Adam meneruskan kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi pula di UIAM dengan anugerah biasiswa yang disediakan.

"Penerimaannya dalam program Asasi Perubatan adalah sepenuhnya secara merit berdasarkan keputusan 11A beliau dalam SPM. Alhamdulillah impian untuk belajar di UIAM telah tercapai.

"Melihat kepada latar belakang keluarganya pula jawatankuasa pemilihan 'IIUM Academy IFP Scholarship' akhirnya menawarkannya bantuan biasiswa bukan hanya untuk bayaran yuran pengajian tetapi juga untuk yuran asrama dan wang saku bulanan sepanjang pengajian," katanya.