KPM tambah 11 lagi sekolah K9 atasi keciciran pelajar di pedalaman

Iklan
Kah Woh menyampaikan ucapan perasmian pada Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi peringkat kebangsaan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada Rabu. Foto Bernama

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah 11 lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9), menjadikan jumlah K9 di seluruh negara sebanyak 28, bagi mengatasi masalah keciciran persekolahan dalam kalangan pelajar di pedalaman.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di bawah KPM ketika ini sedang melaksanakan kerja lapangan termasuk ke Sabah dan Sarawak untuk mengenal pasti sekolah yang boleh dijadikan sebagai sekolah K9.

Iklan
Iklan

Katanya, kerja-kerja verifikasi akhir akan dilaksanakan untuk membentangkan cadangan kepada pengurusan tertinggi KPM dan peningkatan bilangan sekolah K9 dapat direalisasikan apabila sesi persekolahan baharu dibuka pada tahun hadapan.

"Kalau kita sebut pendidikan murid Orang Asli dan peribumi, memang tidak boleh lari daripada isu keciciran, jadi untuk mengatasi perkara ini, KPM akan perluaskan bilangan sekolah K9 dengan penambahan 11 buah sekolah lagi menjadikan jumlah keseluruhan sekolah K9 sebanyak 28 buah.

Iklan

"Dengan adanya sekolah K9 ini, ia akan mengurangkan isu keciciran kerana murid akan berada di sekolah yang sama dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3, jadi tidak ada transisi atau perpindahan sekolah selepas darjah 6 untuk masuk Tingkatan 1,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini pada Rabu.

Kah Woh (tengah) bergambar kenangan bersama murid-murid Orang Asli pada Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi peringkat kebangsaan pada Rabu. Foto Bernama

Iklan

Sementara itu Kah Woh berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, di Lipis, Pahang dipilih kementerian itu untuk program Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan.

Katanya, dengan pemilihan itu, akan disusuli dengan pelbagai kemudahan akan disalurkan KPM ke sekolah tersebut termasuk kemudahan internet tambahan menggunakan Starlink dan kemudahan tablet bagi sebahagian besar pelajar untuk membantu sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Menurutnya, KPM juga akan menambah baik penyaluran air bersih dan elektrik ke bangunan baharu sekolah itu, menambah baik kemudahan dewan terbuka serta melengkapkan bengkel pembelajaran membaiki motosikal di situ.

"Sekolah-sekolah ini nanti akan menjadi contoh kejayaan KPM dalam memastikan pembangunan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Mengenai Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, Kah Woh berkata, karnival dua hari yang bermula hari ini, menjadi platform untuk murid mempamerkan bakat dan kemenjadian mereka serta memberi ruang para guru untuk berkongsi pengalaman bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah pedalaman.

"Karnival ini menghimpunkan 185 murid dari 98 sekolah murid Orang Asli di Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor serta 23 sekolah murid Peribumi di Sabah dan Sarawak,” katanya. - Bernama