MSU anjur Malam Apresiasi Puisi Nusantara

Iklan
Dari kiri: Hazami, Junainah, Mohd Shukri dan Rahman ketika program MSU Jiwa Merdeka yang diadakan di sini pada 16 Ogos lalu.

Sempena sambutan bulan kebangsaan, warga Management and Science University (MSU) menganjurkan pelbagai program untuk menzahirkan rasa kecintaan kepada negara Malaysia.

MSU dalam satu kenyataan memaklumkan, antara program yang diadakan ialah Malam Apresiasi Puisi Nusantara pada 16 Ogos lalu yang mendapat sambutan memberangsangkan.

Iklan
Iklan

"Ia diadakan bertujuan untuk memperkasakan penghayatan warga MSU termasuklah pelajar antarabangsa terhadap kepentingan bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti bangsa atau negara serta penggunaannya dalam pelbagai bidang.

"Program itu merupakan salah satu daripada pengisian sambutan MSU MyDay Celebration 2024 yang diadakan khusus untuk menghayati sambutan Hari Kemerdekaan ke-67.

Iklan

"Penganjuran program Malam Apresiasi Puisi Nusantara yang bertemakan ‘Jiwa MSU, Jiwa Merdeka’ melibatkan kolaborasi di antara Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” jelas kenyataan itu.

Hadir merasmikan program itu ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari. Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari; pengurusan kanan universiti dan para pelajar.

Iklan

Menurut kenyataan itu, program yang berlangsung selama dua jam tersebut menyaksikan para tetamu dihiburkan dengan persembahan menarik antaranya segmen antarabangsa yang menyaksikan deklamasi puisi oleh pelajar MSU dari negara Sudan, Lubnan, India, Arab Saudi, Brunei dan Indonesia.

Segmen deklamasi puisi yang lain melibatkan pelajar tempatan dan kakitangan MSU termasuk oleh Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU, Datuk Rosli Yusof serta deklamasi puisi khas oleh Mohd Shukri bertajuk MSU Jiwa Merdeka dan Rahman.

Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian selingan oleh bakat-bakat MSU, penyanyi jemputan Zaki Yamani dan Roslan Madun.

Penganjuran program buat julung kalinya ini telah menarik kehadiran kira-kira 700 warga MSU yang telah memberi peluang kepada mereka untuk merealisasikan penghayatan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia seterusnya memantapkan lagi sikap patriotik dalam pembinaan modal insan negara.