Lawatan ke UM bangkit minat, semangat pelajar SMK Sri Perak

Iklan
Peserta dari SMK Sri Perak ketika mengikuti lawatan sambil belajar ke UM, baru-baru ini.

Lawatan ke universiti bukan sekadar perjalanan fizikal sahaja, sebaliknya ia laluan minda yang menyuntik semangat dan motivasi dalam diri setiap pelajar.

Demikian pandangan penulis mengenai sesi lawatan sambil belajar warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak, Parit Buntar, Perak ke Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Program anjuran Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM itu adalah salah satu inisiatif jabatan dalam menjalinkan hubungan sosial dengan pihak sekolah, selaras visi universiti untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.

Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr Kamal Solhaimi Fadzil berkata, program itu antara lainnya bertujuan memberikan peluang kepada pensyarah dan mahasiswa meluangkan masa bersama para pelajar.

Iklan

"Secara tidak langsung, program turut membuka ruang pelbagai perkara berkaitan universiti seperti proses kemasukan ke UM dan perkongsian pengalaman menyambung pengajian peringkat universiti.

"Menerusi cara ini, ia telah meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina kerjasama antara kedua-dua pihak,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Iklan

Pengarah Program, Dr Asbah Razali berkata, pelbagai aktiviti telah disusun dalam memastikan peserta memperoleh ilmu dan pengalaman yang bermanfaat.

Antara aktiviti yang diadakan adalah slot perkongsian pengalaman ‘Meniti Masa Depan yang Gemilang’ oleh wakil pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr Syed Abdul Razak Sayed Mahadi.

"Intipati perkongsian beliau (Dr Syed) ialah untuk tidak memandang rendah terhadap kekurangan yang ada, kerana berbekalkan usaha yang tidak mengenal jemu, kita sebenarnya mampu menggapai apa jua cita-cita yang diimpikan.

"Dengan pengalaman tersebut, diharapkan pelajar SMK Sri Perak lebih berkeyakinan untuk berusaha sehabis baik dan menempa kejayaan dalam setiap bidang diceburi.

"Tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, asal sahaja kita berilmu dalam mengejarnya. Dan diharapkan dengan lawatan yang singkat sebegini mampu menyuntik sedikit lonjakan dalam diri pelajar yang terlibat untuk bersemangat dalam usaha masing-masing mendekati impian yang terbina," katanya yang juga pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi.

Sementara itu, Ketua Guru Pengiring SMK Sri Perak, Hamzah Sauti turut melahirkan hasrat agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mengukuhkan lagi ikatan dan jaringan sosial antara UM dan SMK Sri Perak.