Kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas di Kedah catat 74 peratus

Iklan
Gambar hiasan

Kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di Kedah menunjukkan peningkatan setiap tahun, dan tahun lepas ia berjaya mencecah sehingga 74 peratus, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Ismail Othman.

Beliau berkata kebolehpasaran murid-murid itu melibatkan pelbagai bidang antaranya automotif, jahitan, perhotelan, tanaman serta bakeri dan pastri.

Iklan
Iklan

"Di Kedah kita ada 226 sekolah yang mempunyai murid-murid berkeperluan khas iaitu 86 Sekolah Menengah manakala 140 lagi adalah Sekolah Rendah dan mempunyai lebih kurang 8,000 murid.

"Peratusan kebolehpasaran MBPK di negeri ini bermula pada tahap yang rendah, tetapi setiap tahun ia menunjukkan peningkatan dan kejayaan yang boleh dibanggakan. Murid-murid ini diberi peluang untuk memperlihatkan kebolehan mereka dalam 16 bidang kemahiran yang ditawarkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Kedah 2024 yang turut disertai murid-murid Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah di negeri ini.

Sementara itu Ismail berkata murid-murid berkeperluan khas ini perlu diberi peluang sama seperti murid-murid biasa tanpa sebarang prejudis supaya mereka dapat bersedia untuk membina kehidupan selepas mereka menamatkan zaman persekolahan nanti.

Iklan

"Ramai dalam kalangan mereka telah berjaya dan bekerja di pelbagai agensi dan syarikat, Jabatan Pendidikan Negeri juga mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan strategik yang memberi latihan praktikal kepada murid-murid ini.

"Rakan strategik ini mempunyai kesedaran, dan menganggap murid-murid istimewa ini mampu bekerja dengan jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana mereka mempunyai nilai-nilai yang baik dalam diri," katanya.

Beliau berkata sebahagian murid-murid berkeperluan khas itu turut berjaya dalam bidang akademik selain bidang kemahiran, dan tahun lepas sembilan murid berkeperluan khas ini mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

- Bernama