Umum mengetahui bahawa pekerjaan melibatkan pembinaan sering dimonopoli oleh golongan lelaki sehinggakan pengajian dalam bidang berkenaan juga jarang sekali disertai golongan perempuan.
Namun lain pula ceritanya, apabila seorang sumandak Sabah, Mary Anne Dalubatan memilih untuk menceburi bidang itu dan kini sedang menjalani latihan industri di kawasan pembinaan kondominium di Panampang sejak April lalu.
Pelajar jurusan Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional (KV) Keningau Sabah itu merasa bertuah kerana dapat menimba ilmu yang berharga apatah lagi berpeluang meraih pengalaman dengan lebih mendalam sepanjang proses latihan industri.
"Peluang sebagai pelajar latihan industri di syarikat pemaju hartanah membolehkan saya mempelajari dengan sebanyak mungkin sama ada di tapak pembinaan mahupun di pejabat.
"Saya melihat pelajar latihan industri ini perlu merebut peluang yang ada kerana ia bukan sahaja dapat mempelajari ilmu baru malah berpeluang untuk melatih diri agar sentiasa fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan rutin pekerjaan yang pelbagai dan berubah-ubah,” katanya.
Oleh itu, Mary amat menegaskan dan menasihati pelajar latihan industri sepertinya untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh meskipun hanya sekadar bergelar seorang pelajar dan bukan lagi pekerja tetap.
Sementara itu, Mary juga pernah memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan MyInstrinct pada tahun 2023 melalui projek penyebar mortar untuk pemasangan jubin.
Dia telah membentangkan projek tahun akhir itu di persidangan dalam talian selain turut menyertai program kelas pertukaran budaya peringkat Asia Tenggara melalui SEAMEO pada tahun 2023.
Selain itu, Pengarah KV Keningau, Nordin Akup mengatakan kolej berkenaan sentiasa komited dalam melatih dan seterusnya melahirkan graduan yang mahir bidang vokasional yang diceburi.
Justeru, latihan industri antara salah satu komponen pengajian yang diberi penekanan kepada pelajar untuk lebih mendalami ilmu vokasional bersama pihak industri.
"Saya berharap kecekalan dan kesungguhan Mary Anne dapat dijadikan contoh buat pelajar-pelajar lain khusunya mereka yang sahaja mendaftar masuk di sini,” katanya.