UCMI buka pusat hemodialisis di Putrajaya

Iklan
Mohd Na'im menyampaikan cenderhati kepada pesakit di PHMP.

Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) melalui Pusat Perniagaan membuka sebuah lagi cawangan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) di Putrajaya, Jumaat lalu.

Pembukaan PHMP adalah kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan UCMI, bertujuan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Pusat itu dilengkapi dengan teknologi hemodialisis terkini termasuk Mesin Hemodiafiltration (HDF) bagi menunjukkan komitmen dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Sehubungan itu, PHMP bakal berfungsi sebagai tempat latihan bagi program post-basic renal dan lapangan kajian untuk pelajar pasca-siswazah, dengan kajian menumpukan kepada inovasi rawatan perubatan yang diharapkan memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Iklan

Dalam ucapannya di majlis perasmian PHMP, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pembukaan pusat itu merupakan usaha penting MAIWP dan UCMI dalam memperkasakan khidmat kesihatan kepada masyarakat, terutamanya golongan kurang berkemampuan.

"PHMP Cawangan Putrajaya bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti untuk pesakit asnaf tanpa membebankan kewangan mereka, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat,” ujar beliau.

Iklan

Beliau turut menekankan kepentingan sinergi antara institusi agama dan pendidikan dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

"Pelan Transformasi Al Falah dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia adalah inisiatif penting yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam, termasuk kesihatan.

"Pelan ini menekankan kepentingan kesedaran kesihatan melalui kempen meluas, seiring dengan matlamat PHMP di mana penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Turut hadir di majlis perasmian itu ialah Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI bersama pengurusan kanan MAIWP serta UCMI, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman.

Mohd Na'im (tengah) merasmikan pembukaan PHMP.