Sekolah padat: SK Cyberjaya dapat 12 bilik darjah kabin pasang siap

Iklan
Tinjauan ke SK Cyberjaya sempena simbolik Projek Siap Kelas Kabin/Modular IBS.

Sejumlah 12 bilik darjah kabin pasang siap diserahkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Selangor dalam usaha penyelesaian jangka pendek berkaitan isu sekolah padat yang dihadapi mereka.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi, bilik darjah kabin pasang siap itu termasuklah kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas sekolah.

Iklan
Iklan

"Projek bernilai lebih RM2 juta ini dapat memberi penyelesaian jangka pendek kepada isu sekolah padat yang dihadapi SK Cyberjaya.

"Ia dapat memberi keselesaan kepada murid dan guru yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, sekolah baharu iaitu SK Cyberjaya 2 kini sedang berada dalam fasa memulakan pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.

Ujarnya, sekolah baharu yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain adalah proses penyelesaian jangka panjang yang dapat membantu menangani isu tersebut di Cyberjaya dan kawasan sekitar.

Iklan

"KPM proaktif mengatasi isu sekolah padat di seluruh negara. Pelbagai pendekatan diambil termasuk menerusi pembinaan bilik darjah kabin, pelaksanaan kelas terapung dan penyuraian murid ke sekolah berhampiran.

"Pada tahun ini, kerajaan meluluskan pembinaan 26 buah sekolah baharu di seluruh negara," ujarnya.

Terdahulu, Nik Nasarudin menyaksikan penyerahan simbolik Projek Siap Kelas Kabin/Modular IBS SK Cyberjaya oleh pihak kontraktor kepada sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang.