Jangan pilih latihan industri kerana elaun - Pelatih industri

Iklan

TNB Energy Services Sdn Bhd merupakan anak syarikat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memfokuskan kepada perkhidmatan tenaga hijau konsultansi dan beberapa projek tenaga yang lain.

Pada mulanya, saya beranggapan syarikat ini hanya menawarkan program internship hanya tertumpu kepada mahasiswa Universiti Tenaga (UNITEN) sahaja, malangnya tanggapan itu salah kerana ia lebih terbuka memberi peluang kepada mahasiswa dari pelbagai latar belakang kursus pengajian dan juga pelbagai universiti awam dan juga swasta.

Iklan
Iklan

Program internship ini dilaksanakan oleh setiap universiti dan kolej agar dapat memenuhi syarat wajib seseorang mahasiswa untuk bergraduasi serta secara tidak langsung memberi pendedahan dalam suasana pekerjaan.

Terdapat beberapa unit dan jabatan yang berbeza dalam organisasi ini yang mungkin menjadi pilihan mahasiswa, selain yang berkaitan dengan teknikal dan antaranya seperti Jabatan Kewangan, Perolehan, Sumber Manusia, Keselamatan dan sebagainya.

Iklan

Disebabkan kursus pengajian berkaitan dengan sumber manusia, saya di tempatkan di Jabatan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (HRCS).

Antara pengalaman yang saya perolehi adalah belajar benda yang baharu seperti mengurus elaun dan gaji anggota kerja TNBES, mempelajari cara menyediakan takwim latihan atau seminar anggota kerja dan juga beberapa tugasan yang lain.

Iklan

Saya juga didedahkan dengan langkah dan cara pengambilan pekerja baharu serta pembukaan jawatan kosong yang diperlukan oleh TNBES. Selanjutnya, saya juga diberi peluang menguruskan permohonan mahasiswa yang ingin menyertai latihan industri di TNBES serta menguruskan pembayaran elaun mereka. Perkara seperti ini sebenarnya dianggap sulit dan tidak sesuai dilakukan oleh pelajar latihan industri, namun disebabkan layanan sama rata yang diberikan oleh pengurusan telah memberi satu pelajaran dan semangat kepada pelajar internship untuk cuba melaksanakan setiap tugasan yang diberi dengan berjaya.

Pengawai dan anggota kerja di TNBES boleh dikatakan antara manusia yang hebat dan supportive serta sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar latihan industri seperti saya yang masih dahaga akan pengetahuan dan pengalaman kerja.

TNB Energy Services Sdn Bhd juga memberi peluang kepada mahasiswa yang menjalankan latihan industri bersama mereka untuk terlibat secara langsung dalam setiap program dan aktiviti yang dianjurkan mereka.

Saya diberi peluang untuk menjadi pengacara majlis untuk Program Hari Raya TNB Energy Services Sdn Bhd melibatkan kesemua anggota kerja seluruh negara dan ia merupakan satu peluang dan lonjakan yang baik untuk mahasiswa mengasah kemahiran komunikasi dan keyakinan diri untuk berhadapan di khalayak ramai yang tidak kira latar belakang pangkat dan jawatan.

TNB Energy Services Sdn Bhd juga telah dan melaksanakan Program Corporate Social Responsibility (CSR) melibatkan penduduk orang asli sekitar Malaysia dan pemberian barangan keperluan kepada pelajar tahfiz di Gombak Selangor.

Terdapat banyak program sosial yang dianjurkan oleh TNBES dan saya diberi peluang untuk menyertai Program Environment Social Governance (ESG) dengan menanam beberapa anak pokok kelapa di sekitar pantai Kg Juara Pulau Tioman.

Antara aspek penting yang saya dapati di sebalik kejayaan TNB Energy Services Sdn Bhd adalah sistem kerja yang cekap dan dapat menyiapkan tenaga anggota kerja pada tahap yang maksimum.

Di samping itu, pengurusan yang amat menitikberatkan kerohanian dan kebajikan pekerja juga merupakan kunci dan nadi kejayaan syarikat ini. Baru-baru ini, TNBES mengadakan satu seminar berkaitan zakat kepada pekerja yang beragama Islam dan ini membuktikan pihak pengurusan amat mementingkan aspek di dalam rukun islam keempat.

Dari sudut kebajikan pula, pengurusan mewujudkan beberapa elaun yang layak diberi kepada pekerja yang berkeperluan serta pihak pengurusan memberi pendedahan kepada anggota kerja dengan kursus/seminar/latihan berkaitan keselamatan khususnya.

Justeru, saya ingin berpesan kepada mahasiswa agar mengambil setiap peluang yang diberikan supaya dapat mengasah lagi soft skill dan kemahiran untuk menjadi alat ketika alam pekerjaan.

Terdapat banyak pengalaman dan pelajaran yang kita perolehi jika kita tidak lokek untuk bertanya kerana setiap peluang dan ruang yang diberi merupakan satu penghargaan yang mahal dan tidak boleh dibeli.

Biarlah kita menjadi mahasiswa yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum, bukan sekadar hanya berjaya di dalam mata pelajaran sahaja.

Jangan mencari dan memilih tempat latihan industri bersandangkan jumlah elaun tetapi pilih dan carilah tempat yang boleh kita dapat pengalaman dan mengenal potensi serta kekuatan diri kita sendiri.

Maklumat Penulis

Pelajar Latihan Industri HRCS TNB Energy Services Sdn Bhd dan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhd Alif Shakirin Mohd Almi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my