Alumni UPM terima Anugerah Alumni Muda Harapan Kebangsaan

Iklan

Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) menjadi pentas pengiktirafan penting kepada Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Hafidz Arifin yang menerima Anugerah Alumni Muda Harapan dalam Majlis Malam Alumni Universiti Awam (MAL) 2024.

Pengasas Afta Benefigs Sdn Bhd itu menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas sumbangan beliau dalam bidang pertanian moden dan keusahawanan.

Iklan
Iklan

Alumni Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) tahun 2009 ini, memulakan kerjaya di sektor korporat terkemuka di Tabung Haji dan Petronas Carigali.

Setelah memperoleh pengalaman yang luas dalam operasi dalam dan luar negara, minat yang mendalam terhadap pertanian dan semangat keusahawanan membawanya untuk beralih ke bidang pertanian moden.

Iklan

Bermula tahun 2018, beliau mengasaskan Al-Sakinah Enterprise di Janda Baik, sebuah dusun moden popular yang menggabungkan konsep agro-pelancongan.

Seterusnya, pada tahun 2019, Mohamad Hafidz mengembangkan lagi perniagaannya dengan menubuhkan Afta Benefigs Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada penanaman buah tin secara komersial.

Iklan

Ladangnya di Hulu Selangor dan Olak Lempit kini menempatkan lebih daripada 1,200 pokok buah tin, menjadikan antara ladang buah tin terbesar negara dan menembusi peringkat global.

Selain kejayaan perniagaan, Mohamad Hafidz juga terlibat aktif dalam memberikan khidmat nasihat dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi di seluruh negara terutama kepada alma mater beliau, UPM.

"UPM menjadi asas kepada pencapaian saya pada hari ini. Saya berharap akan terus kembali menyumbang segala ilmu dan kepakaran kepada tempat yang telah membentuk karakter saya," ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu berkata, pengiktirafan yang diterima oleh Mohamad Hafidz mencerminkan kejayaan nilai 'Jiwa Putra' yang dipupuk terhadap pelajar.

Tambah beliau lagi, semangat berilmu berbakti yang dihayati sepanjang pengajiannya telah berjaya diterjemahkan kepada sumbangan nyata bukan sahaja kepada UPM, malah kepada masyarakat dan negara.

Majlis Malam Alumni 2024 itu adalah anjuran Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (Malumni) dan merupakan pentas pengiktirafan untuk alumni universiti awam seluruh negara yang tidak jemu-jemu menyumbang untuk pembangunan alumni di institusi masing-masing.

UPM melalui Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) akan terus memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai alumni kembali menyumbang kepada alma mater mereka dalam pelbagai bentuk.