Seramai 60 murid Tadika Kemas Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru diarah pulang berikutan pencemaran bau dipercayai bahan kimia sejak awal pagi Selasa.
Pendidik Masyarakat Kemas, Siti Nor Azliza Abdul Aziz, 39, berkata, bau meloyakan terbabit menyebabkan pening dan pedih mata.
"Saya datang ke tadika bersama dua lagi guru pada jam 7 pagi. Selepas Subuh kami menerima pesanan ringkas daripada penduduk memaklumkan ada bau kurang menyenangkan dipercayai bau kimia.
"Sebaik tiba (di tadika), saya dapati baunya amat kuat sehingga susah bernafas dan mata pedih.
"Kami berbincang dengan pengerusi tadika, penyelia dan pihak bomba memandangkan ketika itu sudah ada murid yang tiba. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menutup tadika," katanya.
Menurut Siti Nor, kesemua murid berusia lima dan enam tahun itu dilaporkan dalam keadaan baik dan diminta segera pulang ke rumah bersama ibu bapa dan penjaga pada jam 7.30 pagi.
Sementara itu, tinjauan dilakukan di Kampung Melayu Pandan turut mendapati, Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan juga ditutup dan murid yang tiba di sekolah pada jam 1 tengah hari diarahkan pulang ekoran pencemaran bau tersebut.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, penutupan tadika dan sekolah agama dilakukan setelah mendapat nasihat daripada agensi penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di kampung berkenaan.
Katanya, langkah itu bagi menbendung masalah yang lebih serius iaitu menjejaskan tahap kesihatan pelajar setelah terdedah dengan yang tercemar itu.
"Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan," katanya.