Waspada elemen judi dalam permainan online

Iklan
Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh individu Muslim adalah unsur-unsur judi dalam permainan online. Gambar kecil: Muhammad Reza Amin

Permainan dalam talian kini menjadi perhatian ramai pemuda yang menjadikan platform digital ini sebagai salah satu cabang sukan (e-sukan).

Dota, Mobile Legend, PUBG, Valorant, FIFA dan lain-lain permainan video telah menjadi tumpuan remaja dalam mengisi masa lapang, malah ada yang serius sehingga dikenali sebagai pemain video profesional.

Iklan
Iklan

Sebagai umat Islam, kita mestilah berhati-hati atas perkara-perkara haram yang boleh mendatangkan dosa.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh individu Muslim adalah unsur-unsur judi dalam permainan online.

Iklan

Firman ALLAH SWT bermaksud:"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah:"Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah:"Dermakanlah - apa-apa yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah ALLAH menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir - (Surah Al-Baqarah: 219).

Ayat di atas menjelaskan tentang larangan berjudi dan meminum arak. Larangan tersebut merupakan larangan yang keras kerana perbuatan tersebut dinilai sebagai dosa besar.

Iklan

Dalam ayat di atas juga, ALLAH melabel perbuatan tersebut sebagai lebih banyak mudaratnya berbanding manfaatnya.

Al-Maisir secara terminologinya bermaksud judi atau taruhan. Manakala dari sudut istilah pula, Syeikh Ali al-Sabuni menyebut"Judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa'i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)

Konsep judi

Di dalam permainan atas talian, konsep judi dapat dilihat melalui loot box, lucky box, lucky pack, draw, lucky spin atau nama-nama lain yang mempunyai konsep lebih kurang sama.

Terdapat banyak jenis loot box, bergantung kepada permainan dalam talian itu sendiri, tetapi rata-rata menggunakan konsep sama iaitu pemain membeli pek misteri mengikut harga ditetapkan menggunakan mata wang permainan itu sendiri, tetapi pemain tidak tahu objek atau aksesori apa yang bakal didapati.

Mata wang permainan tersebut perlu ditambah nilai dengan wang ringgit.

Perkara ini merupakan eleman judi yang harus diwaspadai oleh pemain beragama Islam.

Jika tidak mendapat keuntungan atas objek atau aksesori yang bernilai, pemain akan menanggung kerugian akibat daripada membeli pek tersebut.

Pemain biasanya diberi peluang beberapa kali secara percuma untuk menarik minat melabur lebih banyak mendapatkan item dan aksesori yang bernilai.

Satu pembaziran

Selain wujudnya elemen judi dalam permainan, ia juga merupakan satu pembaziran yang patut dielakkan.

Wang yang digunakan eloklah disalurkan kepada perkara lebih penting dan memberi manfaat kepada kita.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur dan bermain, tetapi di sana ada garis panduan yang perlu dipatuhi agar perbuatan dilakukan tidak mendatangkan dosa sia-sia.

Tambahan pula, permainan dalam talian tersebut boleh di main tanpa mengeluarkan sebarang duit dan tidak perlu terlibat dengan unsur-unsur judi tersebut.

Bermainlah secara sederhana dan berpada-pada agar kita tidak rugi di dunia mahupun di akhirat.

Maklumat Penulis:

Pensyarah Management and Science University (MSU), Muhammad Reza Amin Reza Adnan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my