Warga belia Malaysia kini lebih berminat memulakan perniagaan berbanding menyertai bidang profesional atau melanjutkan pelajaran, menurut hasil tinjauan yang dilaporkan oleh Merdeka Center, hari ini.
Sebanyak 33 peratus daripada 1,605 responden Merdeka Centre Youth Survey 2024 bersetuju bahawa mereka melihat keusahawanan membawa lebih banyak kebaikan daripada menyambung pengajian atau bekerja dalam bidang profesional.
Menurut maklumat yang dilaporkan pada majlis itu, responden berumur 25 hingga 30 tahun menunjukkan peratusan yang tertinggi dalam minat untuk menyertai bidang keusahawanan.
Pegawai Penyelidik Senior Merdeka Center, Fadhil Abdul Rahman menyatakan perasaan terkejut beliau apabila menemui hasil tinjauan tersebut.
"Apabila kami membuat tinjauan yang sama awal tahun lalu, khususnya daripada responden berbangsa Melayu, kami dapati mereka lebih cenderung kepada mendapatkan kestabilan kerjaya dan mereka tidak berdaya keusahawanan.
"Mereka juga percaya menceburi bidang perniagaan memerlukan kos yang sangat besar dan kerjaya dalam bidang itu tidak dijamin kestabilannya dalam jangka masa panjang,” ujar beliau.
Tambah Fadhil lagi, hasil tinjauan yang dilakukan pada tahun ini menunjukkan satu per tiga dari golong belia mahu berniaga dan mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan berbanding kerja professional.
"Melalui tinjauan dan aktiviti kumpulan fokus yang kami adakan pada tahun ini, kami mendapati golongan belia yang menceburi bidang perniagaan meraih pendapatan yang sangat tinggi, lebih tinggi dari gaji pekerja professional.
"Bidang keusahawanan yang diceburi oleh warga belia kini banyaknya melibatkan agrikultur and e-dagang,” ujarnya semasa melaporkan tinjauannya di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Untuk makluman, National Youth Survey 2024 adalah kajian nasional yang bertujuan untuk memahami perspektif dan aspirasi belia Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan, pekerjaan, serta pandangan terhadap masa depan negara.