Penaja bukan sekadar penyumbang dana, tetapi penyokong utama dalam memastikan program berjalan dengan jayanya.
Demikian gambaran yang diberikan kepada semua penaja yang terlibat secara langsung dalam menjayakan projek kesukarelawanan berskala besar, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation kendalian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Sebagai penghargaan, Kolej Kediaman Meranti dan Seroja, UiTM menganjurkan majlis pelepasan sumbangan kepada mereka (penaja) atas sokongan yang berterusan dalam merealisasikan projek itu.
Pengetua Kolej Meranti dan Seroja, UiTM, Dr Firdaus Mohamad berkata, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation (projek inisiatif kemanusiaan) cukup bertuah kerana mendapat bantuan dari pelbagai syarikat dan organisasi.
"Mereka menyumbang dalam bentuk kewangan, bahan makanan, pakaian dan buku dengan jumlah keseluruhan melebihi RM15,000.
"Sumbangan mereka telah membuka jalan kepada pelaksanaan program ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation.
"Kami percaya, projek ini bukan sahaja membina pengalaman kepada mahasiswa tetapi juga menyemarakkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat luar,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelajar, UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Mohammad Noor Jalil memberikan sokongan penuh terhadap projek tersebut yang menekankan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan penuntut.
Ujarnya lagi, program berkenaan juga mampu melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki nilai empati dan kasih sayang sesama manusia.
Terdahulu, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation bakal berlangsung di Perlis, Malaysia dan Songkhla, Thailand, mulai 14 hingga 18 September dengan misi menyelami kehidupan anak-anak yatim dengan sepenuh jiwa dan semangat untuk membawa perubahan positif.