Pelajar Klang serlahkan jiwa inovasi di K-Semanis’24

Iklan
Yoghini, Javen dan Aqilah berkongsi hasil inovasi mesra alam.

Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani: Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor 2024 (K-Semanis’24) yang berlangsung dari 9 hingga 11 September ini, mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya daripada pelajar yang memberanikan diri mempamerkan hasil kerja dan produk inovasi.

Program yang diadakan di Esplanade Mall, Klang itu membuka peluang kepada guru dan pelajar untuk menonjolkan kreativiti serta inovasi membabitkan aspek berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Iklan
Iklan

Pelajar Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih, Muhd Arif menyatakan perasaan terujanya dalam menyertai program inovasi sebegini.

"Bukan sahaja dapat lihat reaksi pengunjung terhadap idea, malah kami juga dapat lihat idea inovasi orang lain yang sangat menarik dan membuka minda,” katanya.

Iklan

Arif bersama dua rakan sepasukan Tingkatan Empat mempamerkan produk elektronik BaKuS, sebuah sistem penyimpanan tenaga elektrik bertujuan mengelakkan pembaziran elektrik di sekolah menggunakan kad imbas Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

"Jika kami aplikasikan sistem ini di setiap blok sekolah, cikgu tidak perlu naik ke setiap kelas untuk menutup suis dan mereka hanya perlu imbas kad untuk mengurangkan penggunaan elektrik,” ujarnya semasa mendemonstrasikan sistem rekaan tersebut.

Arif dan rakan sepasukan mempamerkan BaKuS, ataupun Bank Kuasa Solar.

Iklan

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Sri Andalas, Sharifah Aqilah Balqis bersama dua rakannya, Yoghini dan Javen pula mempromosikan penjagaan kelestarian alam sekitar melalui produk mesra alam mereka, Nelemor Eco Enzyme.

"Produk ini dihasilkan untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia berbahaya dalam bidang agrikultur.

"Nelemor yang terdiri daripada daun semambu, daun serai dan kulit buah oren, bukan sahaja dapat menyuburkan tanah secara berkesan, malah memastikan proses besaran tumbuhan yang sihat,” katanya semasa menerangkan fungsi produk inovasi tersebut.

Semasa temu bual pendek tentang program itu, Aqilah berkongsi perasaan dan cabaran yang dihadapi untuk menyertai pameran di K-Semanis’24.

"Agak susah sikit, persiapan ambil masa dari seminggu ke dua minggu, tetapi sangat menggembirakan sebab dapat pengalaman baharu dan inovasi orang lain yang menarik.

"Ia sangat seronok kerana kami dapat mendedahkan mengenai fungsi produk ini melalui pelbagai pertandingan dan pameran yang disertai. Walaupun penat tetapi hasilnya sangat berbaloi,” kata pelajar Tingkatan Dua berkenaan.

Sementara itu, tiga murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelambu hadir dengan Green Bite Crispy, kerepek sawi pak choi tiga perisa iaitu asli, keju dan barbeku (BBQ).

Salah seorang peserta dari sekolah itu, Muhd Rifqi Rayyan berkata, Green Bite Crispy ini dihasilkan untuk menggalakkan murid minat makan sayur di sekolah.

"Kami perhati semasa pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di kantin sekolah, kami dapati ramai mengasingkan sayur di tepi bekas makanan.

"Kami berharap dengan Green Bite Crispy, murid akan berminat untuk makan sayur sekali gus mengelakkan pengambilan makanan yang tidak seimbang,” katanya semasa memberi sampel kerepek sawi pak choi percuma kepada pengunjung.

Rifqi, Hadfina dan Adam di reruai Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelambu mempromosikan Green Bite Crispy.

Selain pameran-pameran yang menarik sebegini, K-Semanis’24 menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat bagi pelajar antaranya pertandingan memandu dron secara fizikal dan maya, Robosoccer, dekorasi makanan dan pertandingan nyanyian solo kategori prasekolah.

Perlawanan Robosoccer.

Buat para guru pula, pelbagai pembentangan dan bengkel diadakan sebagai usaha berkongsi ilmu pengurusan murid yang baru bagi meningkat kualiti perkhidmatan sekolah.

Aktiviti yang diadakan di K-Semanis’24 adalah sejajar dengan harapan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah untuk menarik minat belajar melalui elemen digital yang interaktif dan berinovasi.

Penbentangan berinformasi melibatkan pengurusan murid di sekolah.