Sembilan hari yang penuh debaran, bertarung dengan semangat kesukanan dan persaingan sengit, temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi ke-6, menutip tirai dalam suasana meriah, Ahad lalu.
Seramai 6,148 atlet telah berjuang merangkumi 28 jenis acara sukan yang dipertandingkan sepanjang sembilan hari bermula 6 hingga 14 September lepas.
Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) dibanjiri atlet, tetamu dan masyarakat yang menjadi tumpuan acara kemuncak penyampaian hadiah, selain dimeriahkan dengan persembahan menghiburkan disambut sorakan penonton.
Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, elemen baharu diperkenalkan pada SUKIPT kali ini antaranya inisiatif rendah karbon, selaras dengan hasrat kerajaan mengurangkan penggunaaan plastik demi kelestarian alam sekitar.
"SUKIPT disertai sejumlah 74 kontinjen IPT di seluruh negara mempertandingkan 28 jenis acara di 23 gelanggang pertandingan disertai empat atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus memberi saingan luar biasa kepada peserta.
"Penganjuran temasya ini menerima sokongan daripada 700 sukarelawan, 100 petugas media, 1,500 petugas dan tajaan.
"Tawaran RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara yang dipertandingkan dan SUKIPT kali ini mencipta sensasi baharu dengan enam rekod kebangsaan dipecahkan,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan SUKIPT Edisi ke-6 2024.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada UUM selaku tuan rumah untuk kejohanan SUKIPT keenam dan tahniah pada UUM sempena 40 tahun penubuhannya.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap atlet dalam pertandingan ini telah memperlihatkan betapa tingginya komitmen dan kecintaan semua peserta dan masyarakat terhadap sukan.
"Kepada semua atlet yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta kepada mereka yang mungkin tidak berjaya meraih pingat, kami mengucapkan tahniah dan syabas.
"Keberanian anda untuk bersaing dan memberi yang terbaik adalah sesuatu nilai yang sangat dihargai.
"Saya juga ingin mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada sukarelawan dan sekretariat yang bertungkus-lumus dalam memastikan kejohanan ini berjalan dengan lancar.
"UUM akan terus menyokong dan merealisasikan kejohanan seperti ini pada masa hadapan. Kami percaya bahawa melalui sukan, kita dapat mengeratkan hubungan, memperkukuhkan semangat kesukanan serta membangunkan bakat muda yang akan menjadi peneraju di masa hadapan,” ucapnya.
Untuk rekod, Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara keseluruhan dengan 97 pingat (38 emas, 20 perak, 39 gangsa), diikuti Universiti Putra Malaysia dengan 78 pingat (38 emas, 19 perak, 21 gangsa) dan politeknik dengan 54 pingat (27 emas, 14 perak, 13 gangsa).