Kes kematian adik Zayn Rayyan yang merupakan kanak-kanak autisme memberi impak besar kepada masyarakat iaitu dorongan meningkatkan penjagaan, keselamatan dan sokongan kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam komuniti.
Pihak kerajaan sebenarnya telah lama menggubal dan melaksana Dasar Orang Kurang Upaya Negara yang menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Dasar ini bertujuan memastikan OKU mempunyai hak dan peluang yang sama tanpa sebarang diskriminasi atas sebab ketidakupayaannya serta mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka sebagai OKU.
Namun, usaha ini tidak dapat dicapai melainkan dengan kerjasama penuh dan bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta NGO, ahli akademik, pakar perubatan, pekerja sosial dan orang ramai.
Sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin dan penyayang, kita semua mempunyai peranan yang berbeza untuk membantu usaha ini tanpa mengira di peringkat mana kita berada untuk sama-sama melaksanakan perkara berikut:
1. Tingkatkan kesedaran
Kesedaran terhadap kewujudan golongan OKU dalam masyarakat perlulah dipupuk sejak dari kecil lagi.
Perkara ini amat penting agar golongan OKU tidak dipinggirkan dalam masyarakat.
Ibu bapa perlu memainkan peranan menerangkan perkara-perkara penting berkaitan dengan golongan OKU kepada anak masing-masing agar mereka tidak berasa takut dan kekok bila mendekati atau bergaul dengan golongan OKU selaras Dasar Orang Kurang Upaya Negara yang mengutamakan nilai hak kemanusiaan seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan golongan itu hidup berdikari.
2. Tingkatkan kepedulian awam dan empati
Semakin meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU, semakin bertambah juga sokongan dan empati yang dapat dihulurkan oleh kita kepada mereka.
Sikap empati ini penting bukan sahaja untuk golongan OKU, malah kepada keluarga terdekat yang menjaga golongan tersebut.
Contohnya, sekiranya anak OKU dibawa ke tempat awam dan mengalami ‘tantrum’ yang sukar dikawal, sikap empati masyarakat yang berada di situ sedikit sebanyak membantu emosi penjaga atau ibu bapa dari perasaan tertekan dalam mengharungi cabaran menjaga dan melayan karenah anak-anak istimewa mereka.
Senyuman tanda empati dari masyarakat sekeliling memberikan sinar harapan untuk mereka merasakan tidak ‘bersendirian’ menghadapi ujian dan cabaran sebagai keluarga yang mempunyai kanak-kanak OKU.
Sokongan yang ditunjukkan secara tidak langsung menguatkan semangat mereka untuk terus menjaga anak-anak OKU mereka dengan sebaik mungkin.
3. Tingkatkan program intervensi
Program intervensi untuk kanak-kanak OKU merujuk kepada pelbagai jenis program yang direka khusus untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai pelbagai keperluan khas.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyokong perkembangan dan pembelajaran mereka, serta memastikan mereka mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak lain.
Program intervensi ini biasanya dijalankan oleh pelbagai profesional seperti pendidik khas, ahli terapi dan kaunselor dan bertujuan untuk membantu kanak-kanak OKU mencapai potensi penuh mereka dan berintegrasi dengan lebih baik dalam masyarakat.
Program intervensi termasuklah program pendidikan dan latihan di mana pendidikan yang sesuai mengikut keperluan individu kanak-kanak OKU seperti kelas khas dan bantuan tambahan dalam pembelajaran.
Program terapi dan pemulihan seperti terapi fizikal, terapi pekerjaan dan terapi pertuturan juga dapat membantu kanak-kanak OKU mengatasi cabaran fizikal atau komunikasi mereka.
Di samping itu, program intervensi kaunseling amatlah perlu bagi kanak-kanak OKU dan penjaga atau keluarga mereka.
Menjaga emosi golongan yang bertanggungjawab secara langsung bagi anak-anak OKU adalah penting kerana penjagaan memerlukan sikap yang positif dan sabar.
Kes ini juga mendorong pihak berkuasa untuk mengkaji semula dan memperbaiki sistem sokongan dan penjagaan untuk kanak-kanak OKU, termasuk latihan dan kaunseling yang lebih baik untuk penjaga dan kakitangan, serta penambahbaikan dalam infrastruktur.
Program kaunseling boleh juga dikendalikan oleh pelajar-pelajar bidang kaunseling di peringkat universiti sebagai salah satu aktiviti society outreach dibantu oleh mana-mana NGO yang relevan.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Hanira Hanafi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my