Redah jalan balak berlumpur hadir konvokesyen anak

Iklan
Javan (tengah) bersama kedua-dua orang tuanya yang hadir pada Majlis Konvokesyen KTC Petronas di SICC, Kota Kinabalu.

Pengorbanan pasangan suami isteri meredah jalan balak berlumpur sejauh lebih 100 kilometer dari Long Pasia, Sipitang, selama tiga tahun untuk anak sulung mereka, akhirnya membuahkan hasil yang manis apabila Javan Yafet, 22, antara 17 graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen di Kota Kinabalu pada Khamis.

Javan yang melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang industri instrument dan kawalan di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) Petroliam Nasional Berhad (Petronas), memperoleh keputusan cemerlang dengan 3.13 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).

Iklan
Iklan

Bapanya, Yafet Adjan, 53, mahu memastikan Javan mendapat pendidikan yang sewajarnya kerana ramai penduduk di kawasan pedalaman tertinggal daripada pelbagai aspek termasuk akses jalan raya, internet dan sebagainya.

"Kami di kawasan pedalaman memang terkenal ketinggalan daripada pelbagai aspek seperti sukar mendapat liputan internet dan akses jalan yang sempurna iaitu terpaksa menempuh perjalanan kurang baik selama empat jam untuk keluar dari kampung.

Iklan

"Malah pengalaman yang lalu, semasa dia mahu ditemu duga pun saya minta Javan turun ke Pekan Sipitang untuk mengelak daripada terlepas peluang kerana liputan internet di kampung sering terputus," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen KTC Petronas di Pusat Konvonsyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada petang Khamis.

JAVAN

Iklan

Sehubungan itu, Yafet yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Long Pasia, Sabah mahu memberi sokongan penuh kepada anaknya termasuk menyediakan seluruh keperluan untuk anaknya belajar dengan selesa di pusat latihan tersebut.

"Saya sentiasa memberi sokongan penuh kepada anak saya termasuk sering berulang alik dari Long Pasia ke pusat latihan itu untuk menghantar bekalan makanan seperti beras, ikan dan daging terutama pada tahun pertama melanjutkan pengajian kerana tajaan wang perbelanjaan belum diperoleh ketika itu.

"Saya tidak kisah walaupun terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam meredah lumpur melalui jalan balak dari Long Pasia ke Sipitang dan kemudian seterusnya ke Kimanis.

"Memang banyak kos perlu ditanggung termasuk kenderaan yang digunakan hanya pacuan empat roda boleh melalui jalan itu, namun demi kejayaan anak, kami sanggup lalui semuanya.

"Malah untuk datang ke majlis konvokesyen inipun, saya melalui perjalanan selama dua hari dari Long Pasia ke Sipitang mengambil masa selama empat jam sebelum bermalam di sana dan pagi tadi, sekitar jam 5 pagi saya bergerak dari Sipitang ke Kota Kinabalu selama empat jam dan terpaksa meredah kesesakan lalu lintas untuk sampai ke SICC ini," katanya.

Sementara itu, Javan berkata, dia tidak mahu mensia-siakan pengorbanan kedua orang tuanya dan bertekad untuk tampil cemerlang dalam pengajiannya selama tiga tahun di pusat latihan itu.

"Kini saya sudahpun menerima tawaran kerja di sebuah syarikat dan dalam masa sama saya juga memohon untuk melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).

"Jika diterima masuk ke INSTEP, saya akan terus belajar supaya dapat memenuhi impian keluarga untuk mengubah nasib keluarga," katanya.