Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi kelonggaran kepada mahasiswa baharu yang mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Mahkota untuk mendaftar lewat ke universiti awam (UA) masing-masing sehingga 29 September ini.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan berkata, penetapan itu dibuat setelah berbincang bersama 12 UA sebagai usaha memberi kemudahan untuk mahasiswa baru menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.
"KPT mengambil maklum berkenaan hari pengundian bagi PRK Dun Mahkota yang akan berlangsung pada 28 September ini.
"Bagi menghormati hak mengundi seperti yang tertakluk dalam perlembagaan, KPT akan beri kelonggaran untuk mendaftar lewat ke UA masing-masing sehingga 29 September,” katanya.
Pelajar baharu yang terlibat juga boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing dan memaklumkan tentang status sebagai pengundi di PRK Dun Mahkota.