Cadangan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatkan Tiga (PT3) yang dimansuhkan tidak boleh dilihat melalui satu aspek sahaja.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, satu pandangan meliputi semua pemegang taruh perlu disediakan.
"Anak-anak bukan tikus makmal yang kita nak uji kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, pada Isnin.
Menurutnya, suatu ketetapan perlu diadakan termasuk penegasan semula khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan guru.
"Penegasan di peringkat KPM itu adalah untuk memastikan apa sahaja keputusan yang diambil tidak boleh menjejaskan anak-anak kita," jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid agar UPSR dan PT3 dikembalikan.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut bersetuju UPSR dikembalikan semula.
Katanya, pemansuhan UPSR sejak tahun 2021 telah menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad juga secara konsisten memilih agar kedua-dua ujian tersebut dikembalikan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
"Setakat ini kita kekal dengan apa yang telah kita laksanakan. Kita ada tumpuan yang lebih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.
"Semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu," katanya.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
PT3 pula yang dimansuhkan pada tahun 2022 mula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).