Osman Bakar dilantik Rektor UIAM ketujuh

Iklan
Osman (kanan) akan menjalankan tugas sebagai Rektor UIAM berkuat kuasa 23 September 2024 hingga 22 September 2026.

Tokoh pemikir Islam tersohor tanah air, Datuk Profesor Emeritus Dr Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 23 September 2024 hingga 22 September 2026.

Menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Sabtu, Osman merupakan penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM.

Iklan
Iklan

Beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom serta memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Falsafah Islam, University of Temple, Amerika Syarikat.

"Beliau (Osman) seorang tokoh pemikir Islam yang terkenal, memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada 2009.

Iklan

"Kementerian yakin dengan pelantikan ini, beliau akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," maklum kenyataan itu.

Sementara itu, KPT dalam kenyataan sama turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.

Iklan