Alumni UPSI kini juruterbang TUDM. ‘Tahniah Kapten, inilah idola anak muda masa kini’

Iklan
Kapten Muhamad Fadzil (kanan) menjadi kebanggaan warga UPSI kerana berjaya bergelar juruterbang dalam usia muda. Turut serta dalam gambar, Norkhalid (kiri).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan satu-satunya universiti pendidikan yang terdapat di Malaysia.

Universiti ini telah melahirkan ramai bakat-bakat insan terbilang dalam bidang pendidikan bermula dari tahun 1922 hingga kini.

Iklan
Iklan

Rata-rata graduan UPSI bukan sahaja telah menjadi pendidik, malah turut berperanan sebagai agen perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Selain bergelar guru, ada sekelompok graduan turut berjaya dalam bidang lain.

Iklan

Terbaharu, alumni UPSI, Muhamad Fadzil Ahmad Bustamam mengharumkan nama universiti apabila berjaya menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau yang kini bergelar Kapten Muhamad Fadzil (375848) merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Rehabilitasi Sukan) Dengan Kepujian dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (Batch Nuri) serta bekas Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Batch 10.

Iklan

Baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin telah berkongsi rasa teruja dan perasaan bangganya terhadap pencapaian Kapten Muhamad Fadzil menerusi video temu bual bersama beliau.

Dalam sesi itu, jelas kelihatan kegembiraan di raut wajah Norkhalid terhadap kejayaan anak didiknya yang menjadi juruterbang pesawat helikopter TUDM.

Menerusi video berdurasi lebih tiga minit tersebut, Norkhalid sempat bertanyakan kepada Kapten Muhamad Fadzil mengenai perasaannya yang telah menamatkan pengajian dan kini alumni UPSI.

"Dulu saya menjadi pelajar dan ahli Palapes. Banyak kenangan yang sukar dilupakan.

"Kepada adik-adik dan Pegawai Kadet Palapes yang baru, nasihat saya, buatlah sehabis baik yang mungkin, taat kepada ibu bapa, solat jangan tinggal dan ingat asal usul kita,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen di laman media sosial, Sinar Bestari mendapati rata-rata warga maya berbangga dengan pencapaian dikecapi Kapten Muhamad Fadzil.

"Wow, dari sport science dipilih jadi juruterbang. Terbaik tuan,” kata Sue Majid.

"Terbaik alumni-alumni UPSI,” catat Penagih Ilmu.

"Hebat pemuda ini, motivasi pada generasi akan datang. Tahniah dik,” tulis Ismail.

"Syabas kapten," kata Rosma Othman.

"Hebat tuan. Tahniah jadi pembakar semangat anak muda di luar sana," maklum Warithabdaziz.

"Alhamdulillah, terbaik. Berbakti kepada masyarakat. Tahniah Kapten,” beritahu Zander Iskander.