Kenali Sayidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW

Iklan
Sayidatina Khadijah RA ialah wanita pertama dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menerima dakwah Islam. - Gambar hiasan/ Foto: Canva

Apabila tular video yang memaparkan kenyataan bahawa Sayidatina Khadijah RA, isteri Rasulullah SAW berasal dari alam Melayu, ia menimbulkan perbincangan hangat.

Fakta itu diragui kesahihannya kerana ia melibatkan insan kesayangan yang begitu dekat dengan Nabi Muhammad SAW dan antara Muslimat terawal mengucap syahadah.

Iklan
Iklan

Walaupun namanya sering meniti pada bibir umat Islam, tetapi tidak ramai mengenali lebih mendalam tentang figura wanita Ummul Mukminin itu.

Menelusuri salasilahnya, Khadijah pernah berkahwin sebelum direzekikan bertemu jodoh dengan Rasulullah SAW.

Sayidatina Khadijah digambarkan sebagai seorang yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah dan termasuk dalam kalangan ahli syurga. - Gambar hiasan

Iklan

Menerusi artikel sama, Khadijah pernah bernikah dengan Abu Halah bin Zurarah At-Tamimi, ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum dan selepas itu barulah Nabi Muhammad SAW.

"Khadijah berkahwin dengan Baginda SAW yang ketika itu berumur 25 tahun, manakala usianya pula 15 tahun lebih tua daripada suaminya.

Iklan

"Apa yang menariknya, nasab Khadijah bertemu dengan nasab Nabi Muhammad SAW pada Qusai.

"Beliau juga ialah wanita pertama dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menerima dakwah Islam,” katanya.

Jika mahu disingkap satu persatu, terlalu banyak perkara baik dapat dilihat menerusi sikap yang ditonjolkan oleh ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW itu dan keperibadian dimilikinya.

"Saat Baginda dalam ketakutan, beliaulah insan yang menenangkannya dan membawanya berjumpa sepupunya, Waraqah,” katanya dipetik menerusi laman web zulkiflialbakri.com.

Graf keperibadian mulia yang dimiliki oleh Khadijah itu boleh dilihat apabila Nabi Muhammad SAW selalu memuji dan menyebut kebaikan serta kelebihannya berbanding dengan Ummul Mukminin yang lain, kata Maktabah Albakri.

Sayidatina Khadijah RA merupakan orang yang sangat penting dalam dakwah Nabi Muhammad SAW kerana beliau telah membantu dakwah Baginda bukan sahaja dengan memberikan semangat dan sokongan moral, tetapi turut memberikan hartanya demi kelangsungan dakwah suaminya kepada masyarakat Makkah ketika itu. - Gambar hiasan/ Foto: Canva

Aisyah RA pernah berkata:"Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita (isteri-isteri) Nabi Muhammad SAW sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum Baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar Baginda menyebut namanya. ALLAH memerintahkan Baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya Baginda menyembelih kambing, Baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Satu fakta lagi yang perlu diketahui, Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain ketika Baginda bersama Sayidatina Khadijah.

Baginda SAW sangat menyayangi dan mencintai Khadijah.

Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya aku telah dikurniakan perasaan cinta terhadapnya (Khadijah).” (Hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, isteri Rasulullah SAW itu merupakan sebaik-baik wanita bagi umat, selain termasuk sebagai orang yang dijamin syurga.

Nasab Khadijah bertemu dengan nasab Nabi Muhammad SAW pada Qusai. - Gambar hiasan/ Foto: Canva

Laman web zulkiflialbakri.com melaporkan, Sayidatina Khadijah wafat sebelum difardukan solat iaitu sebelum peristiwa Israk dan Mikraj, kata Aisyah RA.

"Ada juga yang berpendapat bahawa beliau wafat ketika berusia 65 tahun pada bulan Ramadan dan dikebumikan di Hajun.

"Rasulullah SAW sendiri yang mengebumikan jenazahnya dan ketika itu belum lagi disyariatkan solat jenazah.

"Namun begitu, menurut Ibnu Hajar Al-’Asqalani, pendapat yang sahih ialah Khadijah RA wafat tiga tahun sebelum hijrah,” katanya.