Seramai 60 guru yang memegang tanggungjawab sebagai pemimpin pengakap di sekolah menyertai Kursus Manikayu Peringkat Pengenalan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan aktiviti kepengakapan.
Program anjuran Pasukan Latihan Daerah, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Rompin, Pahang itu menjadi platform penting untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai asas ilmu kepengakapan serta tanggungjawab sebagai pemimpin pengakap.
Kursus sehari berkenaan berlangsung di Mini Auditorium Utama, Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual (JRKV), Politeknik Muadzam Shah (PMS) pada 11 November lalu.
Sepanjang program, peserta mengikuti pengisian merangkumi lapan sidang yang disampaikan oleh lima penceramah berpengalaman luas dalam bidang kepengakapan.
Antara penceramah terlibat ialah Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Rompin merangkap Pengerusi Pasukan Latihan Daerah PPM Daerah Rompin, Zafros Ramlan, selain Azli Hamid, Zailani Abdul Talib dan Tengku Rozita Tengku Zainal Abidin.
Menurut jurucakap penganjur, Ustaz Muhammad Fared Wajdi Mohamad Ahtras, penguasaan asas Manikayu amat penting bagi setiap pemimpin pengakap kerana ilmu dan kemahiran tersebut menjadi bekalan untuk mengendalikan aktiviti pasukan dengan lebih teratur, lancar dan berkesan.
Beliau berkata, guru yang diberikan tanggungjawab membimbing pasukan pengakap di sekolah perlu mempunyai pengetahuan mencukupi agar setiap aktiviti yang dilaksanakan dapat mencapai matlamat pendidikan kokurikulum.
Malah, kemahiran kepengakapan bukan sahaja membantu guru menguruskan aktiviti pasukan, tetapi turut menyokong usaha membentuk sahsiah, disiplin, semangat kerjasama dan jati diri murid.
Tambah beliau, PPM Daerah Rompin sudah enam tahun tidak menganjurkan Kursus Manikayu Peringkat Pengenalan, dengan penganjuran terakhir berlangsung sebelum pandemik COVID-19.
Justeru, kesedaran terhadap kepentingan latihan berkenaan mendorong kepimpinan pengakap daerah itu menggerakkan usaha bagi menghidupkan semula penganjurannya.
"Alhamdulillah, kami menyedari kursus Manikayu Peringkat Pengenalan ini begitu penting untuk didedahkan kepada pemimpin pengakap.
"Justeru, seluruh pimpinan Pengakap Daerah Rompin berusaha memastikan kursus ini dapat dijadikan acara tahunan," katanya.
Beliau berharap penganjuran kursus berkenaan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin pengakap yang berpengetahuan, berkemahiran dan komited dalam membimbing murid.
Usaha memperkasa keupayaan guru sebagai pemimpin pengakap dilihat penting bagi memastikan aktiviti kokurikulum tidak sekadar memenuhi penyertaan murid, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran yang mampu membina keyakinan, kepimpinan dan nilai positif dalam kehidupan mereka.