Kali ini, dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor menjadi lokasi terjahan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas tularnya isu keracunan makanan melibatkan pelajar MRSM Taiping, Perak baru-baru ini.
Asyraf Wajdi yang hadir bersama pasukannya telah membuat tinjauan ke dapur MRSM Mersing bagi melihat sendiri cara penyediaan makanan yang dilakukan pengusaha dewan makan berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ke sana, dia telah memberitahu kepada pengetua tentang kunjungan ke dewan selera.
"Saya hanya maklumkan kepada pengetua sejam sebelum saya sampai.
"Secara umumnya saya berpuas hati dengan tahap kebersihan dan penyediaan makanan. Walaupun bab ikan sahaja yang kecil dan tak sampai berat 130 gm yang disyaratkan, namun pengusaha maklumkan mereka akan beri dua ketul ikan jika bersaiz kecil.
"Saya sudah minta wakil-wakil pelajar dan pelajar MRSM Mersing untuk laporkan terus kepada saya jika apa yang dijanjikan oleh pihak dewan selera tidak dikota,” tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.
Selain dewan selera, Asyraf Wajdi turut mengambil peluang melawat asrama putera dan asrama puteri termasuk melihat keadaan tandas di sekolah itu.
"Ada tandas yang pintunya rosak, pili rosak saya arahkan dibaiki segera dalam tempoh dua minggu," catatnya di Facebook lagi.
Sambung beliau, terjahan ke dewan selera MRSM Mersing dilakukan sewaktu pelajar selesai pembelajaran.
Ujarnya, dia sengaja memilih waktu pelajar habis kelas dan bersedia makan tengah hari bersama-sama bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai keadaan dewan selera, asrama, tandas dan keseluruhan suasana di MRSM.
Ketika menikmati hidangan, Asyraf Wajdi bertanyakan kepada pelajar tentang cadangan untuk menambah baik dewan selera MRSM Mersing.
"Kita perlu tambah menu chicken pox. Eh, salah,” kata salah seorang pelajar disusuli gelak ketawa rakan-rakan lain.
Dalam masa sama, mereka (pelajar) memaklumkan yang dewan selera kekurangan sabun.
"Ok saya bagi mereka masa sebulan...semua selesai ya,” ujar Asyraf Wajdi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan Asyraf Wajdi yang begitu cakna dengan situasi para pelajar MRSM di negara ini.
Tengku Mohd Najib: Alhamdulillah, inilah hasil bila datuk ambik berat tentang kualiti makanan dan kawasan persekitaran dewan makan. Insya-ALLAH selepas ini anak-anak MRSM akan mendapat makanan baik dan masakan yang sedap. Tahniah datuk.
Shariman Abdul Samad: Terbaik, sekali sekala kena terjah.
Mat Yen: Inilah hasilnya apabila meletakkan orang yang bertanggungjawab ke atas jawatan yang diamanahkan. Tahniah datuk.
Mirz: Terjah jangan tak terjah. Kesihatan dan keselamatan anak-anak MRSM penting.
Sofea AL: Terima kasih menjaga anak-anak rakyat Malaysia.
Malik: Alhamdulillah, syukur dan tahniah kepada datuk dan pasukan Mara. Moga-moga bertambah baik lagi kualiti anak-anak MRSM dalam apa jua bidang.